JAKIM OFFICIAL WEBSITE
Responsive image
Tajuk
:

Fatwa Isu Umat Islam Malaysia Yang Berjuang Di Syria Atas Nama ISIS

Kategori: Sosial/Syariah
Tahun: 2016
Status Pewartaan: Diwartakan
Negeri: Pulau Pinang
Keputusan
:

Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang Bil. 6/2014 yang bersidang pada 3-4 Disember 2014 telah membincangkan mengenai Isu Umat Islam Malaysia Yang Berjuang Di Syria Atas Nama Isis. Mesyuarat memutuskan seperti berikut:


1. Setelah meneliti laporan penyelidikan yang telah diperakukan oleh Panel Pakar Akidah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan kertas kerja yang disediakan oleh Sahibus Samahah Dr. Zulkifli bin Mohamad al-Bakri, Mufti Wilayah Persekutuan serta meneliti fakta-fakta, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan, mesyuarat mendapati bahawa :


(i) ISIS atau ISIL merupakan rentetan dari gerakan Salafi Jihadi di Iraq yang pada asalnya terdiri dari tiga organisasi jihad yang berbeza : iaitu Ansar al-Islam yang terdiri dari kelompok Salafi Jihadi warga Iraq yang membentuk kawasan pemerintah Islam mereka yang tersendiri dan mengamalkan kehidupan Islami ortodoks dan radikal, keduanya, kumpulan Mujahiddin berasal dari Jordan di bumi Iraq yang mengisytiharkan diri mereka sebagai Jamaah al-Tawhid wa al-Jihad di bawah pimpinan Abu Mus'ab al-Zarqawi yang berhijrah ke Iraq untuk melancarkan jihad memerangi pendudukan tentera Amerika Syarikat ke atas bumi Iraq dan juga kumpulan Mujahidin al-Qaeda yang berhijrah dari Afghanistan, akibat serangan Amerika Syarikat ke atas bumi Afghan selepas peristiwa 11 September.


(ii) Kebanyakan para ulama Ahli Sunnah Wal Jamaah di seluruh dunia mengingatkan umat Islam agar tidak terpengaruh dengan kumpulan ISIS atau ISIL ini kerana ideologi keganasan dan sikap mereka yang mengkafirkan orang yang tidak sehaluan dengan mereka dan menghalalkan darah mereka. Mereka membunuh rakyat tidak berdosa dan menghalau golongan Kristian dan Yazidi dengan penuh kezaliman. Para ulama Ahli Sunnah Wal Jamaah di seluruh dunia melabelkan ISIS atau ISIL ini sebagai Khawarij di zaman moden dan Jumhur Ulama Ahli Sunnah bersepakat mengenai kesasatan dan juga penyelewengan golongan ini dan memperingatkan umat Islam agar tidak terpedaya dengan segala propaganda ISIS atau ISIL ini.


2. Berdasarkan fakta-fakta yang telah dikemukakan dan selaras dengan nas-nas Syarak, Mesyuarat berpandangan bahawa kecenderungan dan keghairahan umat Islam untuk berjihad atas nama ISIS atau ISIL di bumi Syria adalah berpunca daripada kekeliruan dalam memahami konsep jihad dan mati syahid yang sebenar menurut hukum Syarak. Seruan jihad dan mati syahid yang dipegang oleh mereka adalah bercanggah dengan Islam dan boleh membawa kepada kekufuran kerana mereka menghalalkan darah sesama umat Islam.


3. Mesyuarat menegaskan bahawa tindakan umat Islam dari Malaysia yang telah ataupun yang ingin berjuang atas nama jihad di bumi Syria bagi menyokong golongan ISIS atau ISIL adalah sia-sia kerana perjuangan mereka tidak tergolong sebagai jihad dan kematian mereka juga tidak dikategorikan sebagai syahid menurut kerangka hukum Syarak.


4. Mesyuarat menasihatkan seluruh umat Islam di Malaysia supaya menginsafi diri dan tidak mudah terpengaruh atau terjebak dengan keganasan dan propaganda kumpulan ISIS atau ISIL ini.

 

Tarikh Warta:13 Oktober 2016

No. Warta: 254

Klik disini untuk mencetak