JAKIM OFFICIAL WEBSITE
Responsive image
Tajuk
:

Pelupusan Anggota, Tisu Dan Janin Orang Islam 

Kategori: Perubatan
Tahun: 2017
Status Pewartaan: Tidak Diwartakan
Negeri: Sabah
Keputusan
:

Muzakarah Majlis Fatwa Negeri Sabah Bil. 2 Tahun 2017 telah bersidang pada 23-24 Mei 2017 / 26-27 Syaaban 1438H, bertempat di Bilik Seri Beringgis, TH Hotel & Residence, Kota Kinabalu, Sabah bagi membincangkan mengenai perkara “Hukum Pelupusan Anggota, Tisu Dan Janin Orang Islam” dan telah bersetuju memutuskan untuk diwartakan di Negeri Sabah bahawa: 


  1. Anggota dan tisu sisa klinikal daripada orang Islam yang masih hidup hendaklah dilupuskan    dengan cara menanamnya  tanpa  perlu dimandikan, dikafankan dan disembahyangkan.
  2. Anggota dan  tisu orang Islam yang telah mati yang terpisah daripada tubuh tetapi tidak dimandikan dan disembahyangkan  hendaklah  ditanam sahaja tanpa perlu disembahyangkan lagi. Sekiranya tidak diketahui sama ada tubuhnya telah dimandikan dan disembahyangkan, anggota dan tisu orang Islam yang telah mati hendaklah dimandikan dan disembahyangkan sebelum ditanam.
  3. Jika janin yang gugur(dilahirkan sebelum cukup bulan) mempunyai tanda-tanda awal kehidupan seperti tangisan, gerakan dan seumpamanya, maka jenazahnya perlu diurus seperti biasa iaitu dimandikan, dikafankan, disembahyangkan dan dikebumIkan.
  4. Jika janin yang gugur telah bersifat tetapi tidak memiliki tanda-tanda awal kehidupan, maka hanya perlu dimandikan, dikafankan dan ditanam tanpa disembahyangkan.
  5. Jika janin yang gugur tidak bersifat (seperti seketul daging atau darah) dan tiada tanda-tanda hidup, maka sunat dibungkus dan ditanam tanpa dimandikan dan disembahyangkan.
Klik disini untuk mencetak