JAKIM OFFICIAL WEBSITE
Responsive image
Tajuk
:

Isu Penamaan Bin/Binti Abdullah Kepada Anak Tidak Sah Taraf 

Kategori: Sosial/Syariah
Tahun: 2017
Status Pewartaan: Tidak Diwartakan
Negeri: Sabah
Keputusan
:

Muzakarah Majlis Fatwa Negeri Sabah Bil. 3 Tahun 2017 telah bersidang pada 27-28 September 2017 / 6-7 Muharram 1439H di Bilik Seri   Beringgis, TH Hotel & Residence, Kota Kinabalu, Sabah bagi membincangkan mengenai perkara “Isu Penamaan Bin Binti Abdullah Kepada Anak Tidak Sah Taraf Oleh Mahkamah” dan telah bersetuju memutuskan   untuk diwartakan di Negeri Sabah bahawa: 


1.  Anak Tak Sah Taraf ialah: 


a)  Anak yang dilahirkan di luar nikah sama ada akibat zina atau rogol dan dia bukan daripada persetubuhan syubhah atau bukan  daripada  anak perhambaan.


b)   Anak  dilahirkan kurang dari 6 bulan 2 lahzah (saat) mengikut Takwim Qamariah daripada tarikh imkan al-dukhul (setubuh).


c)   Seorang bayi yang dilahirkan lebih daripada 6 bulan dan kurang daripada 4 tahun daripada tarikh imkan al-dukhul (setubuh) diketahui dengan yakin atau berat zan bahawa kehamilan telah berlaku sebelum akad, atau suami tidak bersetubuh selepas akad atau tidak dimasukkan mani suaminya ke dalam rahim, maka anak tersebut haram dinasabkan kepada suami ibunya atau lelaki yang menyebabkan kehamilan ibunya yang melahirkan anak tersebut.


2. Anak tak sah taraf tidak boleh dinasabkan kepada lelaki yang menyebabkan kelahirannya  atau kepada sesiapa yang mengaku menjadi bapa kepada anak tersebut. Oleh itu, mereka tidak boleh pusaka mempusakai, tidak menjadi mahram dan tidak boleh menjadi wali.


3.  Demi memelihara nasab keturunan, orang Islam ditegah  untuk membinkan atau membintikan mana-mana bayi di dalam perenggan 1 kepada suami ibu bayi atau lelaki yang menyebabkan kehamilan ibunya yang melahirkan anak tersebut.


5. Mana-mana  orang  Islam yang terlibat dengan perkara di atas  adalah melakukan suatu kesalahan dan boleh diambil tindakan di bawah Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Sabah 1995 atau undang-undang lain yang berkuatkuasa di negeri Sabah.

Klik disini untuk mencetak