Pindaan Fatwa Hukum Pelaksanaan Wasiat Wajibah
Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor Kali 4/2016 yang bersidang pada 28 Julai 2016 bersamaan 23 Syawwal 1437H berkaitan Pindaan Fatwa Hukum Pelaksanaan Wasiat Wajibah memutuskan bahawa:
Pelaksanaan wasiat wajibah adalah tertakluk kepada syarat-syarat seperti berikut :
i. Anak lelaki dan perempuan daripada anak lelaki dan anak perempuan (cucu) ke bawah adalah layak untuk menerima wasiat wajibah.
ii. Hendaklah kedua ibu dan bapa mereka meninggal dunia terlebih dahulu daripada atuk atau nenek atau ibu atau bapa meninggal dunia serentak dengan atuk atau nenek dalam kejadian yang sama atau berlainan.
iii. Cucu lelaki dan perempuan bukan merupakan waris kepada harta pusaka datuk. Sekiranya mereka merupakan waris ke atas harta pusaka secara fardhu atau ta’sib maka mereka tidak layak untuk mendapat wasiat wajibah walaupun bahagiannya sedikit berbanding wasiat wajibah.
iv. Sekiranya anak lelaki atau anak perempuan berlainan agama dengan ibu atau bapa atau terlibat dengan pembunuhan ibu atau bapa, maka dia tidak berhak mendapat wasiat wajibah daripada harta pusaka datuknya.
v. Sekiranya datuk atau nenek telah memberikan harta kepada cucunya melalui hibah, wakaf, wasiat dan sebagainya dengan kadar yang sepatutnya diterima oleh anak lelaki atau anak perempuan mereka sekiranya mereka masih hidup, cucu tidak lagi berhak untuk mendapat wasiat wajibah. Sekiranya pemberian tersebut adalah kurang hak yang sepatutnya diterima oleh cucu daripada bahagian anak lelaki atau anak perempuan, maka hendaklah disempurnakan bahagian tersebut.
vi. Anak akan mengambil bahagian faraid bapa atau ibu yang meninggal dunia terlebih dahulu daripada datuk atau nenek dan kadar tersebut hendaklah tidak melebihi kadar 1/3 daripada nilai harta pusaka. Sekiranya bahagian tersebut 1/3 atau kurang daripada 1/3, maka pembahagian tersebut hendaklah dilaksanakan pada kadar tersebut. Sekiranya bahagian tersebut melebihi 1/3, maka hendaklah dikurangkan pada kadar 1/3 melainkan setelah mendapat persetujuan ahli-ahli warisnya yang lain.
vii. Pembahagian wasiat wajibah boleh dilaksanakan setelah didahulukan urusan berkaitan mayat, wasiat ikhtiyariyyah dan hutang piutang.
viii. Pembahagian wasiat wajibah kepada cucu lelaki dan perempuan yang berhak adalah berdasarkan kepada hukum faraid iaitu mengikut nisbah yang telah ditentukan oleh Syarak.
Pindaan:
Fatwa Hukum Pelaksanaan Wasiat Wajibah [Sel. P.U. 5/2011] yang disiarkan pada 6 Januari 2011 dipinda.