JAKIM OFFICIAL WEBSITE
Responsive image
Tajuk
:

Pindaan Fatwa Millah Abraham @ Ibrahim 

Kategori: Akidah
Tahun: 2016
Status Pewartaan: Tidak Diwartakan
Negeri: Selangor
Keputusan
:

Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor Kali 5/2016 yang bersidang pada 4 Oktober 2016 bersamaan 3 Muharram1438H berkaitan Pindaan Fatwa Millah Abraham @ Ibrahim memutuskan bahawa meminda keputusan fatwa dengan menggantikan elemen di para (i).


1. Fahaman dan ajaran Millah @ Ibrahim adalah menyeleweng dan bertentangan dengan ajaran Islam kerana mengandungi elemen-elemen seperti yang berikut:


i) Mendakwa agama Islam yang ada sekarang tidak asli lagi kerana ajaran Islam sebenarnya telah terhapus akibat serangan Mongol terhadap kerajaan Abbasiyyah pada abad ke 10 dan 11.


ii) mendakwa ada rasul selepas Nabi Muhammad S.A.W;


iii) mensyirikkan golongan yang tidak mengikuti ajaran Millah Abraham @ Ibrahim;


iv) menggabungkan tiga (3) ajaran agama iaitu Islam, Kristian dan Yahudi;


v) menyalahertikan maksud kiamat;


vi) memahami al-Quran mengikut tafsiran sendiri;


vii) tidak melaksanakan solat lima waktu dan solat Jumaat; atau


viii) Taksub kepada ajaran sehingga sanggup memutuskan hubungan keluarga dan suami isteri sekiranya tidak mengikuti fahaman dan ajaran ini.


2. Mana-mana orang Islam sama ada secara individu atau berkumpulan adalah dilarang dan diharamkan untuk berpegang kepada fahaman dan ajaran Millah Abraham @ Ibrahim termasuklah :-


i) menjadi pengikut kepada fahaman dan ajaran Millah Abraham @ Ibrahim atau apa-apa fahaman dan ajaran yang mempunyai persamaan dengan fahaman dan ajaran Millah Abraham @ Ibrahim;


ii) berada dalam majlis, perayaan atau sambutan keraian yang boleh dikaitkan dengan fahaman dan ajaran Millah Abraham @ Ibrahim;


iii) mengisytiharkan diri sebagai orang yang berpegang dengan fahaman dan ajaran Millah Abraham @ Ibrahim atau apa-apa fahaman dan ajaran yang mempunyai persamaan dengannya melalui pengakuan bersumpah atau apa-apa kaedah lain.


iv) berselindung di sebalik apa-apa aktiviti ekonomi, perniagaan, pendidikan, kesenian dan sebagainya melalui pertubuhan, persatuan atau syarikat, yang mempunyai unsur-unsur persamaan dengan ajaran, pegangan dan fahaman mereka yang berpegang dengan fahaman dan ajaran Millah Abraham @ Ibrahim;


v) melalui pertubuhan, persatuan atau syarikat yang cuba menghidupkan kembali fahaman dan ajaran mereka yang berpegang dengan fahaman dan ajaran Millah Abraham @ Ibrahim;


vi) mengajar, menganjur, mengadakan, membantu menjayakan apa-apa perayaan, sambutan keraian atau majlis yang boleh dikaitkan dengan fahaman mereka yang berpegang dengan fahaman dan ajaran Millah Abraham @ Ibrahim;


vii) memiliki, menyimpan, mencetak, menjual atau mengedar filem, rakaman, audio, risalah, buku, majalah atau apa-apa terbitan, risalah atau apa-apa dokumen menggunakan apa-apa bentuk lambang, rajah atau tanda-tanda yang boleh mengaitkan fahaman dan ajaran mereka yang berpegang dengan fahaman dan ajaran Millah Abraham @ Ibrahim;


viii) telah berbai’ah (taat setia) dengan fahaman dan ajaran Millah Abraham @ Ibrahim; atau


ix) mengamalkan, menyebarkan dan mengembangkan fahaman dan ajaran Millah Abraham @ Ibrahim di Negeri Selangor.


3. Mana-mana orang Islam yang telah berbai’ah atau mengamalkan fahaman dan ajaran Millah Abraham @ Ibrahim adalah disifatkan bercanggah dengan ajaran Islam yang sebenar dan hendaklah segera bertaubat serta memohon kemapunan kepada Allah S.W.T.


4. Apa-apa variasi, versi, bentuk atau cabang mana-mana ajaran, pegangan atau fahaman baru yang mempunyai persamaan dengan unsur-unsur ajaran, pegangan dan fahaman mereka yang berpegang dengan fahaman dan ajaran Millah Abraham @ Ibrahim adalah disifatkan mengamalkan ajaran, pegangan dan fahaman yang bercanggah dengan ajaran Islam yang sebenar.


5. Apa-apa jua bahan publisiti dan sebaran yang menonjolkan ajaran, pegangan atau fahaman mereka yang berpegang dengan fahaman dan ajaran Millah Abraham @ Ibrahim atau apa-apa fahaman dan ajaran yang mempunyai persamaan dengannya dalam apa jua bentuk penerbitan dan cetakan atau siaran dalam mana-mana laman sesawang, blog, facebook, twitter atau media sosial lain adalah diharamkan.


6. Mana-mana orang Islam yang melakukan perkara-perkara di atas adalah melakukan suatu kesalahan dan boleh diambil tindakan di bawah undang-undang yang berkuat kuasa di Negeri Selangor.


Pindaan:

Fatwa Millah Abraham @ Ibrahim [Sel. P.U 33] yang disiarkan pada 17 September 2015 dipinda.


Sumber: http://www.muftiselangor.gov.my/fatwa-personalisation/fatwa-tahunan/pewartaan/2017-terkini/796-fatwa-mengenai-ajaran-millah-abraham-ibrahim-di-negeri-selangor-pindaan

Klik disini untuk mencetak