JAKIM OFFICIAL WEBSITE
Responsive image
Tajuk
:

Hukum Menerbit Dan Mengedar Terjemahan Al-Quran Tanpa Teks Asal Al-Quran

Kategori: Muamalat/Ekonomi
Tahun: 2017
Status Pewartaan: Tidak Diwartakan
Negeri: Selangor
Keputusan
:

Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor Kali Ke-4/2017 yang bersidang 11 Julai 2017 bersamaan 17 Syawal 1438H berkaitan Hukum Menerbit dan Mengedar Terjemahan Al- Quran Tanpa Teks Asal Al-Quran memutuskan bahawa:


i)   Terjemahan makna ayat-ayat al-Quran dalam penulisan seperti buku agama, akhbar, jurnal, majalah, dan seumpamanya tanpa disertakan bersama teks asal al-Quran dalam Bahasa Arab adalah diharuskan. Terjemahan tersebut adalah satu bentuk penafsiran makna ayat-ayat dalam al-Quran.


ii)  Terjemahan ayat-ayat al-Quran dalam bentuk seperti ini juga adalah sebagai keterangan dan penghujahan terhadap apa yang terkandung di dalam penulisan bukannya bermaksud ia adalah Kalam Allah yang dibaca. Justeru, tidak ada halangan dari sudut Syarak untuk membawakan terjemahannya dalam penulisan tanpa disertakan teks asal ayat al-Quran.


iii)  Walau bagaimanapun adalah lebih digalakkan untuk menyertakan sekali teks asal al-Quran yang dalam Bahasa Arab kecuali jika dibimbangi ia akan mencemarkan kemuliaan dan kesucian ayat-ayat al-Quran, seperti penulisan di dalam buku-buku agama, surat-surat khabar, jurnal, majalah atau seumpama dengannya.


iv)    Penerbitan dan pengedaran terjemahan al-Quran tanpa teks asal al-Quran, Jawatankuasa Fatwa telah meneliti hujah-hujah dan pandangan seperti berikut :


a) Dalam kitab Manāhil al-ʿIrfān dinyatakan:


يجب عند ترجمة القرآن بهذا المعنى إلى أية لغة أن تكتب الآيات القرآنية

Maksudnya: “Dalam penterjemahan al-Quran dengan pengertian ini (terjemah makna/ tafsir) ke dalam apa jua bahasa, wajib ditulis ayat-ayat al-Quran” (al-Zurqānī, t.t.: 2/134).


b) Dalam kitab Al-Tafsīr wa al-Mufassirūn, pengarangnya menyebut bahawa antara syarat-syarat penterjemahan al-Quran ialah:


أن يكتب القرآن أولاً، ثم يؤتى بعده بتفسيره، ثم يتبع هذا بترجمته التفسيرية

Maksudnya: “Hendaklah ditulis al-Quran terlebih dahulu, kemudian dibawakan tafsirannya, kemudian diikuti dengan terjemahannya secara tafsir” (Husain al-Dhahabī, t.t.: 1/24).


c) Kewujudan suatu buku terjemahan al-Quran tanpa teks asal al-Quran akan membawa kepada anggapan bahawa buku tersebut adalah al-Quran yang merupakan kalam Allah, tetapi bukan dalam Bahasa Arab dan bersifat maksum

iaitu terpelihara daripada segala kekurangan dan kesilapan.


d) Kewujudan buku terjemahan al-Quran tanpa teks asal al-Quran boleh membawa fahaman kepada orang awam bahawa membaca buku terjemahan al-Quran tersebut sebagai bacaan seperti membaca al-Quran. Sedangkan membaca al-Quran selain Bahasa Arab adalah tidak dibenarkan.


al-Nawawī menyebut:


مَذْهَبُنَا أَنَّهُ لَا يَجُوزُ قِرَاءَةُ الْقُرْآنِ بِغَيْرِ لِسَانِ الْعَرَبِ سَوَاءٌ أَمْكَنَهُ الْعَرَبِيَّةُ أَوْ عَجَزَ عَنْهَا وَسَوَاءٌ كَانَ فِي الصَّلَاةِ أَوْ غَيْرِهَا

Maksudnya: “Dalam mazhab kita (Sḥāfiʿī) tidak harus membaca al-Quran dengan bahasa selain Bahasa Arab, sama ada seseorang itu mampu berbahasa Arab atau tidak mampu, dan sama ada di dalam sembahyang ataupun di luar sembahyang” (Al-Nawawī, t.t.: 3/379).


e) Membaca terjemahan al-Quran tanpa disertakan dengan teks asal al-Quran akan mendorong masyarakat awam meninggalkan daripada membaca teks asal al-Quran.


Sehubungan dengan itu, berasaskan kepada pertimbangan antara maslahah dan mafsadah dalam isu ini, Jawatankuasa Fatwa berpandangan sisi mafsadah lebih terserlah, maka Jawatankuasa Fatwa berpandangan bahawa Penerbitan dan Pengedaran Terjemahan al-Quran Tanpa Teks Asal al-Quran adalah dilarang.

Klik disini untuk mencetak