JAKIM OFFICIAL WEBSITE
Responsive image
Tajuk
:

Fatwa Pelaburan Amanah Saham Bumiputera (ASB)

Kategori: Muamalat/Ekonomi
Tahun: 2016
Status Pewartaan: Tidak Diwartakan
Negeri: Perlis
Keputusan
:

Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis Kali Ke-20 dan 21/2016 yang bersidang pada 18-19 Februari 2016 bersamaan 9-10 Jamadil Awwal 1437H telah memutuskan seperti berikut:


Setelah meneliti penerangan dan menilai kedudukan ASB, maka Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis memutuskan kedudukan ASB terbahagi kepada dua bahagian:


1. Fatwa Untuk Orang Ramai


Hasrat umat Islam untuk menguasai pembahagian ekonomi dalam negara ini mesti disokong. Untuk menunaikan hasrat itu pihak kerajaan telah menubuhkan ASB. Ia satu-satunya pilihan strategik pada masa ini untuk masyarakat Islam Malaysia menguasai ekonomi secara kolektif. Walau bagaimanapun, didapati setakat ini pelaburan dan hasil keuntungan ASB adalah masih bercampur antara peratusan halal yang banyak dengan haram yang sedikit.

Setelah Jawatankuasa meneliti faktor-faktor berikut:


a) Umat Islam di Malaysia secara umumnya amat dituntut menguasai pemegangan ekuiti di dalam Negara. Pengurangan pemegangan ekuiti strategik umat Islam di Negara ini akan menyebabkan Mafsadah (kemerbahayaan). 

b) Majoriti pelaburan ASB ditujukan ke tempat yang halal. Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis dimaklumkan oleh pihak PNB bahawa usaha ke arah patuh syariah sepenuhnya sedang dijalankan.


c) Setiap pelabur melabur secara pukal atas tujuan yang benar. Manakala pemilihan tempat pelaburan dan syarikat oleh pihak ASB dianggap diluar pilihan pelabur.


Maka, melabur dalam ASB berdasarkan faktor-faktor yang disebutkan di atas dalam keadaan umat Islam tidak mempunyai pilihan setara selainnya dalam memelihara ekuiti negara adalah DIBOLEHKAN. 


Di samping itu, bagi pihak pelabur yang berkemampuan hendaklah mendesak pihak ASB untuk memastikan pelaburan mereka patuh syari’ah sepenuhnya.



Dalam masa yang sama pelabur ASB diwajibkan melakukan pembersihan dengan cara mengeluarkan nisbah peratusan daripada pulangan (dividen) yang haram berdasarkan maklumat semasa dari pihak PNB.


Pembersihan itu boleh dilakukan dengan disalurkan ke pihak-pihak kebajikan yang tiada kepentingan secara langsung dengan pelabur.


2. Fatwa Untuk PNB


Manakala pelaburan pihak PNB yang mengendalikan ASB di tempat yang menyalahi syara’ seperti institusi-institusi riba tanpa alasan syar’ie adalah haram dan wajib dihentikan.


Usaha ke arah patuh syari’ah secara sepenuhnya wajib dilaksanakan oleh pihak PNB dengan perancangan yang jelas bagi memastikan umat Islam menguasai ekonomi yang halal.


Dalam tempoh kekangan memastikan perlaksanaan halal sepenuhnya, pihak PNB hendaklah memaklumkan kepada para pelabur kadar pelaburan yang tidak patuh syari’ah untuk membolehkan pelabur melakukan pembersihan.


Klik disini untuk mencetak