JAKIM OFFICIAL WEBSITE
Responsive image
Tajuk
:

Hukum Bertabarruk Dengan Peninggalan Nabi Saw

Kategori: Akidah
Tahun: 2016
Status Pewartaan: Tidak Diwartakan
Negeri: Perlis
Keputusan
:

Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis Kali Ke-23/2016 yang bersidang pada 3-4 Oktober 2016 bersamaan 2-3 Muharram 1438H telah memutuskan seperti berikut:


Pada umumnya bertabarruk (mengambil keberkatan) dengan peninggalan Nabi SAW samada jasad Baginda atau barang peninggalan yang disentuh oleh jasad Baginda, adalah dibolehkan dengan syarat menyakini bahawasanya keberkatan itu semuanya datang dari Allah SWT dan bukan daripada barang tersebut. Namun keterlaluan (ghuluw) sehingga menjadikan tabarruk upacara ibadah yang diberikan tumpuan adalah dilarang. Atas alasan inilah ‘Umar bin al-Khattab telah memerintahkan agar dihapuskan pokok yang disangka menjadi tempat Bai’ah al-Ridhwan kerana dibimbangi berlaku syirik.


Walaupun begitu para ulama semasa telah membuat kajian dan mentarjihkan bahawa tiada lagi sebarang peninggalan dari jasad atau barangan kegunaan Nabi yang boleh disabitkan kewujudannya dengan bukti yang sahih.



Sebaliknya perbuatan mengadakan logo, replika, lambang atau seumpamanya yang dikatakan menyerupai barangan atau kesan peninggalan Nabi lalu mengambil keberkatan daripadanya adalah perkara yang diada adakan dalam agama yang dilarang.


Jika hal ini dibiarkan maka berbagai replika, rajah, ilustrasi dan tangkal akan muncul seperti replika Kaabah, capal, unta, tapak kaki dan seumpamanya dengan tujuan mengambil berkat. Ini akan membuka ruang untuk manusia membina berhala atas alasan mengambil keberkatan.


Manakala sekadar mengadakan logo yang tidak bercanggah dengan syariat Islam tanpa tujuan tabarruk seperti lambang bulan, bintang, bulan sabit, Kaabah, pokok kurma, pedang dan seumpamanya adalah dibolehkan.



Klik disini untuk mencetak