JAKIM OFFICIAL WEBSITE
Responsive image
Tajuk
:

Hukum Forex Trading Online

Kategori: Muamalat/Ekonomi
Tahun: 2016
Status Pewartaan: Tidak Diwartakan
Negeri: Perlis
Keputusan
:

Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis Kali Ke-24 & 25/2016 yang bersidang pada 20-21 Disember 2016 bersamaan 20-21 Rabiul Awwal 1438H telah memutuskan seperti berikut:


Hukum asal pertukaran mata wang dengan mata wang yang lain (الصرف) adalah harus dengan syarat pertukaran atau urusniaga dilakukan dengan serahan milik oleh kedua belah pihak secara tunai dan serta-merta (التقابض).


Adapun perdagangan mata wang secara online melalui platformplatform sama ada tempatan atau luar negara diharamkan sama ada dijalankan oleh individu atau institusi kerana sebab-sebab berikut:


1. Ketiadaan berlaku serahan milik oleh kedua belah pihak secara tunai dan serta-merta (التقابض) sama ada secara hakiki ataupun hukmi (konstruktif).


2. Kewujudan unsur riba iaitu pada kemudahan leverage (pinjaman tunai) oleh platform yang mensyaratkan dilakukan perdagangan mata wang dengan caj berbayar hanya dengan platform yang sama. Riba juga berlaku pada overnight charge (caj semalaman) ke atas pinjaman yang tidak dilangsaikan pada hari yang sama.


3. Kewujudan unsur gharar (ketidaktentuan) iaitu pada identiti penyedia platform, undang-undang yang menyelia pedagangan tersebut serta keabsahan transaksi yang dilakukan.


4. Kewujudan unsur maisir (judi) yang mendedahkan pihak pedagang kepada peluang untung atau risiko kerugian kerana bergantung LAMPIRAN 2 kepada spekulasi (ramalan) pergerakan nilai mata wang yang berada di luar kawalan, usaha dan pengaruh pihak yang berurusniaga. Ini sama dengan meletakkan wang pertaruhan yang mengakibatkan salah satu pihak mengaut keuntungan atas kerugian pihak lain yang mana untung dan rugi bergantung kepada nasib.


Dengan ini demi untuk mengembalikan kestabilan nilai sesuatu mata wang, perdagangan mata wang bagi tujuan ramalan keuntungan perlu dihentikan bagi mengelakkan mata wang dijadikan komoditi yang mana perkara ini hanya akan lebih menjejaskan sistem fiat money yang sudah sedia lemah dan juga meningkatkan inflasi.


Klik disini untuk mencetak