Zakat Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)
Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis Kali Ke- 31/2017 yang bersidang pada 6 Ogos 2017 bersamaan 13 Zulkaedah 1438H telah memutuskan seperti berikut:
Setelah berbincang, Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis bersetuju dengan keputusan seperti berikut:
1) Semua jenis skim KWSP wajib ditunaikan zakat dengan syarat pekerjaan asal pencarum adalah halal.
2) Dividen yang diberikan oleh pihak KWSP jika sekiranya ia daripada akaun simpanan syariah juga tertakluk kepada hukum zakat. Adapun dividen bagi akaun simpanan konvensional perlulah melalui proses pembersihan terlebih dahulu dan bakinya tertakluk kepada zakat.
Hendaklah seorang Muslim meletakkan wang simpanannya ke dalam akaun Simpanan Syariah KWSP. Jika dia telah melanggar arahan syarak dengan meletakkan wangnya ke dalam akaun tidak patuh syariah sedangkan dia memiliki pilihan, maka hendaklah dia bertaubat dan wang dividen berkenaan hendaklah dibersihkan. Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis mencadangkan kaedah pembersihan itu boleh dirujuk ke laman sesawang KWSP http://secure.kwsp.gov.my/shariah/bm/faq.html