JAKIM OFFICIAL WEBSITE
Responsive image
Tajuk
:

Hukum Menghisap Rokok Elektronik (Vape) dan "Shisha Stick"

Kategori: Sosial/Syariah
Tahun: 2015
Status Pewartaan: Tidak Diwartakan
Negeri: Kedah
Keputusan
:

Jawatankuasa Fatwa Negeri Kedah telah meneliti isu Hukum Menghisap Rokok Elektronik (Vape) dan “Shisha Stick” dan bersetuju memberi pandangan seperti berikut;


1.     Sejak kebelakangan ini, satu fenomena baharu telah diperkenalkan dalam industri rokok iaitu menghisap rokok menggunakan kaedah elektronik atau dikenali sebagai “vape”. Rokok elektronik ini mengandungi bahan kimia nitrosamines (TSNAs), nikotin, aerosol, asid aldehid, sebatian organik berwap (VOC) dan karsonogen. Selain itu, terdapat juga bahan kimia yang menghasilkan bau dan perasa buah-buahan dimasukkan dalam rokok elektronik. Malah sesetengah produk “vape” dilaporkan mengandungi dadah, polycyclic aromatic hidrokarbon dan sebatian fenolik.


2.     Sementara itu, isu menghisap “shisha stick” terutamanya dalam kalangan para pelajar telah menjadi tabiat yang sukar untuk ditegah. Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang telah membuat kajian terhadap kandungan dalam “shisha stick” ini telah mengesahkan bahawa ianya mengandungi propilena glikol, gliserin sayuran dan perasa dalam bentuk cacair. Sebahagiannya didakwa mengandungi nikotin, tar, karsnogen dan bahan kimia lain sepertimana yang terdapat dalam rokok. Selain itu, “shisha stick” turut mengandungi bahan kimia yang menghasilkan bau dan perisa buah-buahan. Sesetengah produk “shisha stick” boleh mengakibatkan penyakit berkaitan jantung dan kanser.


3.     Atas faktor-faktor yang dinyatakan di atas maka Jawatankuasa Fatwa Negeri Kedah bersetuju memutuskan bahawa hukum menghisap rokok elektronik (vape) dan “shisha stick” adalah HARAM kerana aktiviti tidak sihat ini akan menyebabkan berlaku kemudharatan dan pembaziran kepada masyarakat Islam berdasarkan dalil-dalil berikut;


 i.    Firman Allah I dalam al Quran:


وَأَنفِقُواْ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ وَلَا تُلۡقُواْ بِأَيۡدِيكُمۡ إِلَى ٱلتَّهۡلُكَةِ وَأَحۡسِنُوٓاْۚ إِنَّ ٱللَّهَ يُحِبُّ ٱلۡمُحۡسِنِينَ ١٩٥


Maksudnya: Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan (dengan bersikap bakhil); dan baikilah (dengan sebaik-baiknya segala usaha dan) perbuatan kamu; kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya.                              (al Baqarah: 195)



ثُمَّ أَنزَلَ ٱللَّهُ سَكِينَتَهُۥ عَلَىٰ رَسُولِهِۦ وَعَلَى ٱلۡمُؤۡمِنِينَ وَأَنزَلَ جُنُودٗا لَّمۡ تَرَوۡهَا وَعَذَّبَ ٱلَّذِينَ كَفَرُواْۚ وَذَٰلِكَ جَزَآءُ ٱلۡكَٰفِرِينَ ٢٦ ثُمَّ يَتُوبُ ٱللَّهُ مِنۢ بَعۡدِ ذَٰلِكَ عَلَىٰ مَن يَشَآءُۗ وَٱللَّهُ غَفُورٞ رَّحِيمٞ ٢٧



Maksudnya:

Dan berikanlah kepada kerabatmu, dan orang miskin serta orang musafir akan haknya masing-masing; dan janganlah engkau membelanjakan hartamu dengan boros yang melampau. Sesungguhnya orang-orang yang boros itu adalah saudara-saudara syaitan, sedang syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya.                                                   

(al-Israa’: 26-27)


ii.    Sabda Rasul r : “لا ضرر ولا ضرار”

Maksudnya: Tidak boleh memudharatkan (diri sendiri) dan tidak boleh memberi kemudharatan (kepada orang lain).

(Hadith riwayat Imam Ahmad, Imam Malik, Ibn Majah dan al Dar-Alqutni.)


iii.    Bertepatan dengan Maqasid Syariah iaitu matlamat syarak yang bertujuan untuk menolak kemudharatan yang akan menimpa umat Islam dan mempertahankan manfaat atau kebaikan. Imam al-Syatiby dan Imam al-Ghazaliرحمهم الله telah membincangkan tentang kepentingan memelihara diri dan harta umat Islam daripada dirosakkan oleh apa-apa jua unsur yang tidak baik. Maka dalam hal ini, telah jelas menunjukkan bahawa menghisap rokok elektronik (vape) dan “shisha stick” akan menyumbang risiko yang boleh mengancam kesihatan diri dan pembaziran harta terutamanya wang ringgit. Sekalipun alat yang digunakan untuk merokok adalah berbeza namun implikasinya lebih buruk daripada merokok menggunakan kaedah biasa.


4.     Jawatankuasa Fatwa Negeri Kedah turut bersetuju untuk mengekalkan keputusan mesyuarat yang berlangsung pada 13 Januari 1996 mengenai pengharaman merokok kerana kemudharatan dan pembaziran.


5.     Justeru, semua pihak adalah dilarang menghisap rokok menggunakan kaedah elektronik atau menggunakan “shisha stick”, termasuk juga pihak yang menyumbang kepada berleluasanya tabiat yang negatif ini demi memelihara tuntutan agama, sosio-masyarakat dan kesihatan ummah. Wallahu ‘alam.


Klik disini untuk mencetak