JAKIM OFFICIAL WEBSITE
Responsive image
Tajuk
:

Larangan Membina Kepungan Di atas Pusara Tanah Perkuburan Islam

Kategori: Ibadah
Tahun: 2016
Status Pewartaan: Tidak Diwartakan
Negeri: Wilayah Persekutuan
Keputusan
:

Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan Kali Ke-99 yang bersidang pada 30 November 2016 bersamaan 30 Safar 1438H telah menimbang dan meneliti perkara ini dan mengambil maklum beberapa perkara seperti berikut:

 

a. Terdapat 22 buah tanah Perkuburan Islam yang dikawalselia oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan.


b. Menjadi amalan masyarakat di Malaysia untuk membina kepungan pusara. Namun terdapat sesetengah negeri yang menetapkan bentuk dan spesifikasi kepungan yang dibenarkan untuk dipasang. Manakala sesetengah negeri yang lain tidak menetapkan spesifikasi tertentu.


c. Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan adalah salah sebuah negeri yang telah menetapkan spesifikasi khusus bagi membina kepungan. Syarat dan spesifikasi ini terpakai bagi 2 buah Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah iaitu di Taman Batu Muda dan Bukit Kiara. Namun, terdapat juga waris yang membina kepungan yang tidak mengikut spesifikasi yang ditetapkan oleh JAWI dengan membina binaan yang melampaui keperluan sehingga menyerupai binaan kubur agama lain. Amalan ini telah berterusan sejak bertahun-tahun dahulu hingga sekarang tanpa ada pemantauan dan penguatkuasaan daripada pihak yang berwajib.


d. Bahagian Pengurusan Kariah JAWI bersetuju dengan larangan tersebut atas sebab-sebab berikut:


(i) Binaan kepungan pusara di atas tanah wakaf hendaklah dilarang bagi memastikan kehendak pewakaf dapat dimanfaatkan dengan sepenuhnya.

(ii) Tanah Perkuburan Islam dapat diguna semula sekiranya telah penuh dengan menggunakan kaedah seperti kubur bertingkat.

(iii) Memastikan tanah wakaf tidak menjadi hakmilik kekal waris si mati dengan adanya kepungan pusara tersebut.


KEPUTUSAN


Mesyuarat telah berbincang dan mengambil keputusan melarang membina kepungan pusara di atas tanah perkuburan kecuali apa yang telah diputuskan oleh pihak berautoriti.

Klik disini untuk mencetak