Zakat Ke Atas Duit Kutu
Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan Kali Ke-99 yang bersidang pada 30 November 2016 bersamaan 30 Safar 1438H telah menimbang dan meneliti perkara ini dan mengambil maklum beberapa perkara seperti berikut:
(a) Amalan kutu ini berlaku dengan cara salah seorang dari sekumpulan wanita mengambil satu kadar atau nilai yang dikumpul bersama setiap hari Jumaat atau sekali dan diberikan kepada salah seorang dari mereka secara bergiliran setiap bulan.
(b) Skim kutu yang diamalkan tidak termasuk dalam bentuk faedah yang dilarang. Kebanyakkan ulama berpendapat bahawa tindakan ini adalah harus di sisi Syariah atas sebab ia tidak termasuk dalam pinjaman dengan faedah yang dilarang oleh Syariah. Jumlah dan tempoh pinjaman juga adalah serupa. Ini menjadikannya tiada sebarang lebihan manfaat yang boleh menjadikannya haram.
Manakala syarat untuk memberi pinjam semula tadi, jikapun ia dianggap sebagai satu manfaat namun ia adalah manfaat yang sama kepada dua-dua pihak dan bukan hanya satu pihak yang boleh membawa penindasan.
i. Imam Ibnu Qudamah menyatakan jika harta yang baru diperolehi seseorang itu merupakan hasil dari harta sedia ada padanya seperti untung dari harta perniagaannya atau anak-anak yang lahir dari haiwan ternakannya, maka harta perolehan baru itu wajib digabungkan kepada harta sedia ada padanya dan dikeluarkan zakat bersama-samanya. Jadi, haul bagi harta perolehan baru itu dikira bersekali dengan haul harta sedia ada kerana ia terbit darinya dan dari jenis yang sama. Hukum ini tidak ada khilaf di kalangan ulamak.
ii. Menurut pandangan lain yang diriwayatkan dari Ibnu Mas’ud, Ibnu ‘Abbas dan Mu’awiyah di mana mereka berpendapat; Harta perolehan baru itu (al-Mal al-Mustafad) wajib dizakati ketika menerimanya (yakni tidak perlu menunggu genapnya haul). Terdapat riwayat menceritakan; “Ibnu Mas’ud memberi kepada kami al-‘Ata (pemberian) kemudian ia mengambil zakat ke atasnya”. Imam al-Auza’ie berkata terhadap orang yang menjual hambanya dan rumahnya; “Hendaklah ia membayar zakat terhadap harga (bayaran) yang diperolehinya sebaik saja bayaran itu berada di tangannya kecuali baginya bulan yang diketahui (akan sampai haul bagi harta yang sedia ada padanya), maka bolehlah ia menangguhkan pengeluaran zakat ke atas harta perolehan baru itu untuk disekalikan pengeluaran zakat bersama hartanya yang sedia ada”. Pandangan inilah yang ditarjihkan oleh Syeikh al-Qaradhawi (Fiqh al-Zakah 1/302).
KEPUTUSAN
Mesyuarat telah berbincang dan mengambil keputusan tidak memerlukan keputusan fatwa terhadap hasil pendapatan daripada duit kutu.