JAKIM OFFICIAL WEBSITE
Responsive image
Tajuk
:

Mengutip Sumbangan Dan Pergerakan Tabung Masjid Sewaktu Khatib Berkhutbah Di Masjid-Masjid Wilayah-Wilayah Persekutuan

Kategori: Ibadah
Tahun: 2017
Status Pewartaan: Tidak Diwartakan
Negeri: Wilayah Persekutuan
Keputusan
:

Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan Kali Ke-100 yang bersidang pada 27 Februari 2017 bersamaan 30 Jamadil Awwal 1438H telah menimbang dan meneliti perkara ini dan mengambil maklum beberapa perkara seperti berikut:

 

(a) Wilayah-Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan) mempunyai 83 buah masjid dan 111 buah surau Jumaat. Jumlah ini akan meningkat dari masa ke semasa. Peningkatan ini berdasarkan kepadatan penduduk dan topografi Wilayah Persekutuan yang memerlukan pertambahan bangunan masjid dan surau Jumaat.

 

(b) Dana masjid umumnya adalah melalui sedekah dan sumbangan orang ramai. Antara sedekah dan sumbangan orang ramai ialah melalui kutipan pada hari Jumaat.

 

(c) Bagi sebahagian masjid dan surau Jumaat di Wilayah Persekutuan, kaedah kutipan tabung masjid pada hari Jumaat dijalankan bermula ketika khatib membaca khutbah melalui edaran tabung atau individu yang bergerak dari saf ke saf.

 

(d) Jabatan Mufti Negeri Johor melalui surat arahan bertarikh 1 Januari 2017 telah menegah dan melarang agar menggerakkan tabung ketika khatib sedang berkhutbah kerana perbuatan tersebut adalah suatu perkara yang berlawanan dengan apa yang dituntut ke atas jemaah iaitu mendengar khutbah dengan diam.

 

(e) Manakala Keputusan Muzakarah Fatwa Negeri Sabah Bil. 3 tahun 2016 yang bersidang pada 10-11 Ogos 2016 juga telah memuktamadkan mengenai hukum mengutip sumbangan dan sedekah sewaktu khatib di atas mimbar adalah tidak dibenarkan dan dilarang dengan alasan seperti berikut:

 

”Sebarang perbuatan yang mengganggu penumpuan semasa khatib berkhutbah adalah tidak dibenarkan. Oleh itu, perbuatan mengutip sumbangan dan sedekah melalui tabung bergerak dan seumpamanya dilarang semasa khatib berkhutbah di atas mimbar”.

 

KEPUTUSAN

 

Mesyuarat telah berbincang kertas tersebut dan mengambil keputusan seperti berikut:

 

(a) Haram menggerakkan tabung atau mengutip ketika khutbah disampaikan oleh khatib pada hari Jumaat berdasarkan kepada dalil-dalil antaranya:

 

(i) Daripada Abu Hurairah RA, Nabi SAW bersabda:

 

إِذَا قُلْتَ لِصَاحِبِكَ يَوْمَ الْجُمُعَةِ أَنْصِتْ. وَالإِمَامُ يَخْطُبُ فَقَدْ لَغَوْتَ


Maksudnya: “Apabila kamu berkata ‘diam’ kepada sahabat kamu pada hari Jumaat ketika imam membaca khutbah maka sia-sialah Jumaat kamu.”

Riwayat al-Bukhari (892) dan Muslim (851)

 

(ii) Ali RA meriwayatkan:

 

وَمَنْ لَغَا فَلَيْسَ لَهُ فِى جُمُعَتِهِ تِلْكَ شَىْءٌ

Maksudnya: “Bahawa sesiapa yang Jumaatnya sia-sia dia tidak dapat apa-apa kelebihan dan pahala yang diharapkan daripada Jumaatnya itu.” Riwayat Abu Daud (1051).


Larangan berkata-kata di sini termasuklah juga menulis bagi mengelakkan situasi berhelah seperti orang menggunakan SMS, Whatsapp dan lain-lain ketika khatib sedang berkhutbah dengan alasan, “Kami tidak bercakap tetapi hanya menulis.”


Ini dikuatkan dengan hadis daripada Abu Hurairah RA:


مَنْ مَسَّ الْحَصَى فَقَدْ لَغَا

Maksudnya: “Barangsiapa yang menyapu (bermain-main) batu kerikil (ketika Jumaat) maka hal itu sia-sia.” Riwayat Muslim (857).


Berkata Imam Nawawi Rahimahullah: “Pada hadis ini terdapat larangan bermain dengan batu dan selain daripada jenis itu kerana itu adalah sebahagian daripada perbuatan sia-sia ketika khutbah (Jumaat). Di sini terdapat isyarat agar ditujukan hati dan anggota badan semata-mata kepada khutbah.” Rujuk al-Minhaj Syarh Sahih Muslim.

Berdasarkan hadis di atas, jelas menunjukkan kepada kita perbuatan seperti menegah saudaranya bercakap atau bermain dengan anak batu dianggap sebagai perbuatan sia-sia dan tidak dibenarkan. Ini bertujuan supaya:

·  Fokus diberi kepada isi kandungan khutbah yang disampaikan oleh khatib.

·  Tidak mengganggu jemaah yang lain.

 

(b) Walaupun begitu, dengan memahami keperluan dan dana kewangan yang kukuh dalam mengimarahkan masjid serta aktivitinya, mesyuarat mencadangkan seperti berikut:

(i) Tabung digerakkan selepas solat Jumaat.

(ii) Kutipan oleh petugas bergerak di hadapan jemaah bagi setiap saf dengan membawa karung atau bekas selepas solat Jumaat.

(iii) Kutipan juga boleh dilakukan sebelum azan.

(iv) Dalam kutipan secara bergerak dengan petugas, hendaklah mengelakkan daripada melintasi orang yang sedang solat.

(v) Perlu diambil kira tempat yang sesuai ketika memungut derma untuk masjid.

(vi) Begitu juga khatib boleh menggalakkan derma kepada masjid dan mendoakan kepada penderma pada akhir khutbahnya sebagai salah satu kempen untuk menggalakkannya.

(vii) Kempen melalui slogan dan fadhilat derma di skrin LED masjid kecuali ketika khutbah dan solat dijalankan.

Klik disini untuk mencetak