JAKIM OFFICIAL WEBSITE
Responsive image
Tajuk
:

Penggunaan Semula Bioefluen Terawat Dan Biopepejal Dari Loji Rawatan Kumbahan (“LRK”) IWK

Kategori: Ibadah
Tahun: 2017
Status Pewartaan: Tidak Diwartakan
Negeri: Wilayah Persekutuan
Keputusan
:

Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan Kali Ke-100 yang bersidang pada 27 Februari 2017 bersamaan 30 Jamadil Awwal 1438H telah menimbang dan meneliti perkara ini dan mengambil maklum beberapa perkara seperti berikut:


(a) Proses rawatan sisa kumbahan ini hanya dilakukan kepada sisa kumbahan domestik sahaja yang diterima dan diproses di LRK awam yang diselenggara oleh IWK. Manakala, sisa daripada aktiviti pengeluaran industri tidak disambung ke sistem pembetungan awam di Malaysia. Secara asasnya, rawatan kumbahan akan melalui 3 proses rawatan utama iaitu Rawatan Permulaan, Rawatan Utama, dan Rawatan Sekunder.

 

(b) Rawatan permulaan kumbahan didefinisikan sebagai penyingkiran unsur-unsur bukan organik yang berpotensi menyebabkan masalah penyelenggaraan dan operasi rawatan. Ini termasuk pengasingan dan pengisaran untuk penyingkiran serpihan dan kain buruk, penyingkiran batu-batu halus menerusi pemendapan dan juga penyingkiran minyak dan gris menerusi proses pengapungan. Kumbahan yang telah disaring akan disalurkan ke dalam tangki rawatan utama.

 

(c) Di dalam rawatan utama, proses tindakbalas biologi dan pengudaraan akan menyingkirkan sedikit pepejal terapung dan bahan organik. Pepejal di dalam kumbahan berada di dalam keadaan terampai dan bakteria di dalam kumbahan akan memecahkan bahan-bahan organik. Efluen daripada rawatan utama akan mengandungi kandungan pepejal terapung atau bahan organik yang tinggi. Efluen ini kemudiannya akan disalirkan ke tangki rawatan sekunder (penjernih).

 

(d) Rawatan sekunder kumbahan tertumpu kepada penyingkiran bahan organik terbiodegradasikan dan pepejal terapung melalui proses mendapan di mana bahan-bahan organik terampai akan mendap sebagai enapcemar. Enapcemar yang terhasil akan dikeluarkan untuk rawatan lanjut penghasilan Biopepejal. Manakala, efluen akhir yang terhasil yang juga dikenali sebagai Bioefluen terawat akan dilepaskan ke sungai yang berdekatan.

 

(e) Di dalam proses yang berasingan, enapcemar yang disingkirkan pada rawatan sekunder akan melalui proses menyahair untuk menyingkirkan sekurang-kurangnya 80% kadar kelembapan di dalam enapcemar tersebut. Proses ini akan menghasilkan enapcemar kering dan pejal yang juga dikenali sebagai Biopepejal.

 

KEPUTUSAN


Mesyuarat telah berbincang dan mengambil keputusan bahawa dalam menjawab persoalan ini, Jawatankuasa berpandukan kepada beberapa dalil dan pendapat ulama’ antaranya:


(a) Daripada Abdullah bin Umar R.Anhuma berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW ketika ditanya tentang air di padang pasir yang sering didatangi oleh binatang buas dan binatang-binatang lain, sabda Baginda:


إِذَا كَانَ الْمَاءُ قُلَّتَيْنِ لَمْ يَحْمِلِ الْخَبَثَ

Maksudnya: “Jika air mencapai dua qullah, ia tidak menanggung najis lagi.” (Riwayat Abu Daud, no. 63 )


إِذَا كَانَ الْمَاءُ قُلَّتَيْنِ أَوْ ثَلَاثًا فَإِنَّهُ لَا يَنْجُسُ

Maksudnya: “Jika air mencapai dua qullah atau tiga qullah, ia tidak dihukum najis lagi.” (Riwayat Ahmad, no. 5855)


Hadis di atas menunjukkan bahawa air yang bercampur dengan najis dan tidak berubah salah satu sifatnya, maka ia khilaf di kalangan ulama’ kecuali dalam mazhab al-Syafie, dilihat dalam pembahagian air, banyak atau sedikit. Jika banyak dengan lebih daripada 2 qullah, maka hukumnya tidak najis. (Lihat Subul al-Salam, 1/18).


(b) Imam al-Nawawi dalam al-Majmu’ menyebut:


إذَا أَرَادَ تَطْهِيرَ الْمَاءِ النَّجِسِ نُظِرَ فَإِنْ كَانَتْ نَجَاسَتُهُ بِالتَّغَيُّرِ وَهُوَ أَكْثَرُ مِنْ قُلَّتَيْنِ طَهُرَ: بِأَنْ يَزُولَ التَّغَيُّرُ بِنَفْسِهِ أَوْ بِأَنْ يُضَافَ إلَيْهِ مَاءٌ آخَرُ: أَوْ بِأَنْ يُؤْخَذَ بعضه لان النجاسة بالتغير وقد زال (الشرح)   اذا زَالَ تَغَيُّرُ الْمَاءِ النَّجِسِ وَهُوَ أَكْثَرُ مِنْ قُلَّتَيْنِ نُظِرَ إنْ زَالَ بِإِضَافَةِ مَاءٍ آخَرَ إلَيْهِ طَهُرَ بِلَا خِلَافٍ سَوَاءٌ كَانَ الْمَاءُ الْمُضَافُ طَاهِرًا أَوْ نَجِسًا قَلِيلًا أَوْ كَثِيرًا وَسَوَاءٌ صُبَّ الْمَاءُ عَلَيْهِ أَوْ نَبَعَ عَلَيْهِ وَإِنْ زَالَ بِنَفْسِهِ أَيْ بِأَنْ لَمْ يَحْدُثْ فيه شيئا بَلْ زَالَ تَغَيُّرُهُ بِطُلُوعِ الشَّمْسِ أَوْ الرِّيحِ أَوْ مُرُورِ الزَّمَانِ طَهُرَ أَيْضًا عَلَى الْمَذْهَبِ وَبِهِ قَطَعَ الْجُمْهُورُ


Maksudnya: “Jika seseorang hendak membersihkan air yang terkena najis, hendaklah diperhatikan keadaannya. Sekiranya kenajisan air tersebut kerana berlakunya perubahan (warna, bau atau rasa) dan ia melebihi dua qullah, maka air dikira suci: disebabkan perubahan itu hilang dengan sendirinya atau disebabkan ditambah air yang lain kepadanya atau diambil sebahagiannya kerana kenajisan itu disebabkan perubahan sedangkan punca berlakunya perubahan tersebut sudah tiada.



Penjelasan: Jika hilang perubahan pada air yang terkena najis yang melebihi dua qullah, hendaklah dilihat keadaannya. Jika najis tersebut hilang dengan tambahan air lain, maka dikira suci tanpa khilaf padanya samada air tambahan itu suci atau bernajis samada sedikit atau banyak. Begitu juga samada air yang ditambah itu ditambah dengan cara tuang atau dengan cara terbit (mata air). Dan sekiranya najis tersebut hilang dengan sendirinya yakni tidak berlaku suatu pertambahanpadanya bahkan hilang perubahannya dengan pancaran cahaya matahari atau dengan tiupan angin atau dengan waktu yang panjang, maka keadaan sedemikian juga dikira suci menurut pandangan mazhab al-Syafie dan keputusan ini juga turut dipegang oleh jumhur ulama’.


Berdasarkan kaedah penyucian air yang dilaksanakan oleh pihak Indah Water Konsurtium Sdn. Bhd. bagi menghasilkan bioefluen terawat dan biopepejal dari Loji Rawatan Kumbahan (LRK), hasil lawatan yang kami lakukan dan penerangan yang diberikan, maka Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah-Wilayah Persekutuan berpendapat sistem infrastruktur yang mengalirkan kumbahan itu berupaya menjadikan air kumbahan tersebut suci lagi menyucikan (air mutlak) kerana berlakunya proses perubahan untuk menghilangkan najis dan mengekalkan semula sifat asal air yang suci lagi menyucikan. Justeru, air tersebut boleh digunakan untuk siraman bahkan ia boleh digunakan untuk minuman kerana air tersebut telah kembali kepada sifat air yang asal.


Klik disini untuk mencetak