JAKIM OFFICIAL WEBSITE
Responsive image
Tajuk
:

Melantik Orang Bukan Islam Sebagai Peguam Syarie

Kategori: Sosial/Syariah
Tahun: 2017
Status Pewartaan: Tidak Diwartakan
Negeri: Wilayah Persekutuan
Keputusan
:

Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan Kali Ke-100 yang bersidang pada 27 Februari 2017 bersamaan 30 Jamadil Awwal 1438H telah menimbang dan meneliti perkara ini dan mengambil maklum beberapa perkara seperti berikut:


(a)  Pada 15 Mei 2010 seorang wanita bukan Islam memperolehi kebenaran daripada Mahkamah Tinggi Sivil untuk menjalankan semakan kehakiman untuk satu perintah mandamus bagi mendesak Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan menerimanya sebagai peguam syarie tanpa mengambil kira beliau adalah seorang bukan Islam.


(b) Berikutan isu ini, Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) menghantar permohonan melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) agar Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia mengeluarkan keputusan rasmi berhubung isu ini dan seterusnya difatwakan di peringkat negeri. Di samping itu, keputusan terhadap isu ini juga dipohon oleh Jabatan Peguam Negara dalam prosesnya menentukan syarat kelayakan orang bukan Islam sebagai peguam syarie.


(c) Merujuk kepada Akta 505 Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993, peguam syarie ditafsirkan sebagai "seseorang yang dilantik sebagai Peguam Syarie di bawah seksyen 59". Seksyen 59 pula menjelaskan bahawa peguam syarie ialah orang yang diterima oleh pihak Majlis "yang mempunyai pengetahuan tentang Hukum Syarak menjadi Peguam Syarie untuk mewakili mana-mana pihak dalam apa-apa prosiding di hadapan mana-mana Mahkamah Syariah".


(d)  Mengikut Kaedah 2 Kaedah-Keadah Peguam Syarie 1993 (Wilayah-Wilayah Persekutuan) ia ditafsirkan sebagai seorang yang berkelayakan yang diterima sebagai Peguam Syarie di bawah Kaedah 13. Kaedah 13 yang disebutkan di sini hanya menyentuh aspek-aspek prosedur permohonan seseorang untuk menjadi peguam syarie. Namun begitu, sebelum permohonan ini diterima, pihak berkuasa akan meneliti kelayakan pemohon berdasarkan kepada peruntukan-peruntukan yang terdapat dalam Kaedah-Kaedah Peguam Syarie.


KEPUTUSAN


Mesyuarat telah berbincang dan mengambil keputusan haram melantik orang bukan Islam sebagai Peguam Syarie. Keputusan ini dibuat bersandarkan kepada dalil-dalil daripada nas al-Quran dan Hadith, Kaedah Fiqhiyyah, Maslahah dan Siasah Syar'iyyah.


Klik disini untuk mencetak