JAKIM OFFICIAL WEBSITE
Responsive image
Tajuk
:

Pandangan Berkaitan Aktiviti Dan Kedudukan Raja Bomoh Sedunia Ibrahim Mat Zin

Kategori: Akidah
Tahun: 2017
Status Pewartaan: Tidak Diwartakan
Negeri: Wilayah Persekutuan
Keputusan
:

Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan Kali Ke-101 yang bersidang pada 26 April 2017 bersamaan 29 Rejab 1438H telah berbincang dan setelah meneliti fakta-fakta, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan berkaitan Amalan Perbomohan Ibrahim Mat Zin, mesyuarat mendapati bahawa amalan dan upacara Perbomohan Ibrahim Mat Zin melibatkan amalan–amalan dan upacara yang menggambarkan kepercayaan khurafat dan tahyul melalui penggunaan pelbagai peralatan. Sehubungan dengan itu, Jawatankuasa memutuskan pandangan hukum seperti berikut :


(a) Bahawa upacara dan amalan perbomohan Ibrahim Bin Mat Zin untuk apa-apa tujuan dengan menggunakan atau tidak menggunakan apa-apa objek adalah menyeleweng dan berlawanan dengan ajaran Islam.


(b) Oleh yang demikian, mana-mana orang Islam atau kumpulan orang Islam adalah dilarang:

(i)  Menganut, mengamal, menjadi ahli, menjadi pengikut, mengisytiharkan diri sebagai ahli, mengisytiharkan diri sebagai pengikut perbomohan tersebut; atau

(ii) Memiliki, menyimpan, mencetak, menerbit, memuat naik, memuat turun, menjual, mengedar atau menggunakan apa-apa terbitan, risalah, majalah, buku, media sosial, dokumen, rakaman audio, filem amalan atau upacara perbomohan tersebut; atau

(iii)  Mengajar, menyebar, menghidup, membantu, menganjur, mempromosi upacara atau amalan perbomohan tersebut, menghadiri apa-apa upacara yang dikaitkan dengan amalan perbomohan tersebut atau menyokong apa-apa aktiviti perbomohan tersebut sama ada secara langsung atau tidak langsung.


(c) Mana-mana orang Islam adalah dilarang bersubahat daripada melakukan mana-mana perkara yang dinyatakan dalam perenggan (ii).


(d) Mana-mana orang Islam atau kumpulan orang Islam yang telah melibatkan diri dengan upacara dan amalan perbomohan Ibrahim Bin Mat Zin sebagaimana yang dinyatakan dalam perenggan (ii) hendaklah bertaubat.


Klik disini untuk mencetak