JAKIM OFFICIAL WEBSITE
Responsive image
Tajuk
:

Pandangan Hukum Ajaran Ilmu Syahadah, Zikir Nafas Dan Lain-Lain Yang Berkaitan Dengan Kedudukannya Oleh Ismail Bin Kassim

Kategori: Akidah
Tahun: 2017
Status Pewartaan: Tidak Diwartakan
Negeri: Wilayah Persekutuan
Keputusan
:

Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan Kali Ke-101 yang bersidang pada 26 April 2017 bersamaan 29 Rejab 1438H telah meneliti fakta-fakta, hujjah dan pandangan yang dikemukakan dan mendapati bahawa Ilmu Syahadah (Ilmu Penyaksian), Zikir Nafas dan lain-lain yang berkaitan dengan kedua-duanya yang diajar oleh Ismail bin Kassim dari Pertubuhan Rahmatan Lil Alamin (PERAHMAT) menyeleweng dan bertentangan dengan ajaran Islam berdasarkan akidah Ahli Sunnah wal-Jamaah. Perkara-perkara yang menyeleweng dan meragukan seperti yang berikut:


(a)  Terbatal Kesemua Rukun Islam Sekiranya Tidak Mempelajari Ilmu Syahadah Yang Dibawa Oleh IBK

Rukun Islam yang pertama, iaitu mengucap dua Kalimah Syahadah akan terbatal sekiranya seseorang tidak mempelajari Ilmu Syahadah (Ilmu Penyaksian) yang dibawa oleh IBK. Bukan setakat itu sahaja, bahkan kesemua rukun Islamnya yang lain, iaitu solat, puasa, zakat dan menunaikan haji akan turut terbatal. Ilmu Syahadah yang dimaksudkan oleh IBK ialah ilmu penyaksian qalbu terhadap roh yang sedang bersyahadah.


(b)  Tuntutan Mencari Penyaksi Di Alam Arwah

Seseorang itu hendaklah berusaha mencari penyaksinya yang akan dibawa sebagai saksi di hari akhirat kelak. Sekiranya penyaksi tersebut tidak dapat ditemui, ia akan menyebabkan amalan Zikir Nafasnya tidak dapat berjalan dengan lancar. Namun tidak perlu bersusah payah untuk mencari penyaksi kerana ianya akan diutuskan oleh Allah SWT di alam shahadah, apabila mengamalkan Zikir Nafas.


(c)   Wajib Mempelajari Zikir Nafas Kerana Tiada Cara Lain Untuk Mencari Allah Kecuali Melaluinya

Seseorang itu wajib mempelajari amalan Zikir Nafas menjadi wajib kerana tidak ada cara lain untuk mencari Allah SWT (Ilmu Syahadah) kecuali melalui amalan Zikir Nafas. Mencari Allah SWT adalah melibatkan peranan yang dimainkan oleh qalbu. Anggota pancaindera manusia yang lain, seperti mata dan telinga peranannya adalah terhad kepada alam zahir sahaja, berbeza dengan qalbu yang mempunyai peranan ghaib. Hanya dengan amalan Zikir Nafas yang boleh membuka mata hati qalbu. Oleh yang demikian, apabila mata hati qalbu seseorang telah terbuka, maka dia akan dapat melihat penyaksian roh, dan perkara-perkara ghaib yang lain dengan berterusan secara autopilot. Manakala mengambil ilmu Zikir Nafas pula hendaklah melalui guru yang berketurunan Ahli Bait sahaja.


(d)  Mengisi Nafas Dengan Zikir لا إله إلا الله

Seseorang itu perlu mengisi nafasnya dengan zikir  لا إله إلا الله.  Setiap orang yang mengikuti ajaran Zikir Nafas diminta agar mencari dan mengambil baiah kalimah لا إله إلا الله. Zikrullah ini hendaklah dilakukan secara berterusan selama 24 jam tanpa henti. Kaedah untuk mendapatkan zikir tanpa henti tersebut ialah melalui pengisian zikir dalam pernafasan. Apabila kalimah zikir telah diisi dalam pernafasan, setiap kali manusia bernafas, nafasnya akan berzikir mengingati Allah SWT (لا إله إلا الله). Perkiraan yang dibuat terhadap bilangan zikir yang akan terhasil daripada pernafasan tersebut adalah sebanyak 2,592 (108 x 24) zikir sehari. Zikir Nafas ini tidak boleh ditalqinkan kepada seseorang, kecuali setelah meyakininya dan melakukan Solat Istikharah.


(e)  Amalan Zikir Nafas Telah Wujud Sejak Dari Zaman Nabi Adam AS Dan Baginda Adalah Orang Pertama Yang Mempraktikkannya

Allah SWT telah meniupkan roh-Nya ke dalam jasad Nabi Adam AS dan seterusnya bernafas dan nafas pertama yang naik dan turun daripada Adam AS adalah berbentuk Zikir Nafas. 


(f)  Zikir Nafas Adalah Amalan 124,000 Para Rasul Dan Para Wali Allah

Justeru para rasul AS diperintahkan oleh Allah SWT untuk berkhalwat di dalam gua, kerana apabila berada di dalam gua akan di dengar secara jelas bunyi perkataan Zikir Nafas, iaitu ‘hu’, ‘hu’, ‘hu’.


(g) Amalan Zikir Nafas IBK Adalah Sabit Melalui al-Quran dan Mengingkarinya Bermakna Syak Terhadap Ayat al-Quran

Amalan Zikir Nafas yang dibawanya adalah sahih dan sabit melalui al-Quran dan al-Hadith dan sesiapa yang mengingkarinya dianggap telah menaruh syak terhadap al-Quran dan al-Sunnah.


(h) Hu juga merupakan bunyi nafas yang sedia ada, bunyi nafas yang sedia ada, bunyi oksigen, segala bunyian, peredaran bintang, planet bulan dan mata hati.


(i) Hari Kiamat Akan Berlaku Apabila Tiada Lagi Makhluk Yang Nafasnya Berzikir Dengan Kalimah Allah.

Semua makhluk termasuk haiwan, tumbuh-tumbuhan dan manusia akan mati dan diikuti dengan berlakunya hari kiamat apabila tiada lagi makhluk yang nafasnya berzikir dengan kalimah Allah (Allah, Allah). 


(j)  Kelebihan Luar Biasa Apabila Mengamalkan Zikir Nafas

Kelebihan luar biasa yang diperoleh apabila mengamalkan Zikir Nafas yang dibawa oleh IBK adalah seperti yang berikut:

(i)         Menyambung talian dengan Allah SWT.

(ii)         Menyambung talian dengan Nabi Muhammad SAW.

(iii)        Menyambung talian emas dengan guru-guru yang sampai sanadnya kepada Nabi Muhammad SAW.

(iv)        Nafas terkawal dari segala gangguan syaitan, iblis, ifrit dan jin.

(v)        Dianggap berada di landasan sirat al-Mustaqeem.

(vi)        Nafas sentiasa rasa dikawal.

(vii)   Nafas berjalan dengan kelajuan yang begitu normal walaupun mendengar berita buruk dan menakutkan.

(viii)      Hidup dan mati menjadi kesedaran diri walaupun berada di mana jua.

(ix)        Apabila lalai dan alpa, nafas akan datang menyedarkan diri kepada Allah.

(x)        Akan mendapat husnul al-Khatimah.


(k) Mengamalkan Kepercayaan Wahdat al-Wujud

Ismail bin Kasim pernah mengungkapkan kata-kata yang jelas membawa kepada makna Wahdat al-Wujud, iaitu;

Aku berkata-kata dengan lidah ni, ini lidah Allah, ini lidah Allah, kafir kamu pergi, kalau kamu menolak, pergi, ini lidah Allah, ini perkataan Allah, di mana kau, kafir terus...”.


(l) Mentakwil Ayat-Ayat al-Quran Secara Bathil

Antara contoh pentakwilan ayat-ayat al-Quran secara batil ialah seperti yang berikut :

Pada ayat dalam surah al-Fatihah : اهدنا الصراط المستقيم, Allah SWT akan menjawab : صراط الذين أنعمت عليهم , iaitu الصالحين، الشهداء والصديقين. Tafsiran bagi ketiga-tiga perkataan tersebut adalah seperti yang berikut:


  1. الصالحين       : Mempunyai Zikir Nafas dan kenal Allah dengan aqal;
  2.  الشهداء : Mempunyai Zikir Nafas dan syahadah dengan qalbu; dan
  3.  الصديقين       : Mempunyai Zikir Nafas dan rohnya bersyahadah.


(m) Kaedah Penafsiran al-Quran (Usul Tafsir) Yang Menyeleweng

Ismail bin Kasim mengatakan ayat-ayat al-Quran tidak boleh difahami semata-mata dengan membaca terjemahan, kitab-kitab tafsir, mahupun asbab al-nuzul, bahkan hanya boleh difahami dengan Ilmu al-Quran (Ilmu Takwil, Ilmu al-Furqan, Ilmu Ma’na, Ilmu Maqsud, Ilmu Hikmah, Ilmu Makrifat, Ilmu Hakikat, Ilmu Asrar, Ilmu Ghaib dan Ilmu Yaqin).


(n)  Berpegang Kepada Hadith Palsu

Antara hadith palsu yang digunakan oleh Ismail bin Kasim dalam ceramahnya adalah seperti yang berikut:

(i)  Sesiapa yang menyakiti seorang tolibul ilmi seperti menyakiti 124,000 nabi, sesiapa yang menyakiti 124,000 nabi seperti menyakiti Rasulullah SAW, sesiapa yang menyakiti Rasulullah SAW seperti menyakiti Allah, dan sesiapa yang menyakiti Allah, neraka tempatnya”.

(ii)  Barang siapa yang mencariku, pasti menjumpai-Nya, barang siapa yang menjumpai-Nya, maka dia telah menjumpai segala-galanya, Nabi Muhammad SAW bertanya bagaimana ingin mencari Allah, dan Allahpun menjawab : “Shahadah”. 

(iii)  “Barang siapa yang datang berjumpa dengan aku mengenalku, aku akan kira setiap kebaikan sejumlah seluruh makhluk yang pernah dan akan aku ciptakan.


(o)       Ghuluw (Melampau) Dalam Menghormati Guru

Sebelum mengikuti sesuatu program anjuran IBK, para peserta akan diberikan taklimat bagaimana hendak memuliakan dan menghormati guru (IBK). Antara adab-adab yang diajar bertentangan dengan ajaran Islam, melampau dan berlebihan dalam menghormati sheikh atau guru adalah seperti yang berikut:


(a)     Sesiapa yang hendak bersalaman dengan guru (sheikh) wajib mengambil wuduk terlebih dahulu kerana guru dianggap membawa al-Quran yang hidup.

(b)     Berkeadaan yakin bahawa sheikh dapat mengesan ketaatan, atas izin Allah SWT.

(c)     Jangan menderhaka kepadanya atas amanah-amanahnya.

(d)     Jangan ada sangkaan bahawa sheikh tidak mengetahui kelakuan dan perbuatanmu.

(e)   Jangan meragui, membantah di hadapan dan di belakangnya kerana sheikh hanya mengajar ilmu kalimah la ilaha IllAllah.

(f)   Jangan sekali-kali melanggar panduan di atas, kelak akan terjerumus ke dalam kecelakaan dan kebinasaan.


Sehubungan dengan itu, Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan memutusan bahawa Ilmu Syahadah (Ilmu Penyaksian), Zikir Nafas dan lain-lain yang berkaitan dengan kedua-duanya yang diajar oleh Ismail bin Kasim dari Peretubuhan Rahmatan Lil Alamin (PERAHMAT) dan seumpamanya adalah menyeleweng dan bertentangan dengan ajaran Islam berdasarkan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Justru, orang Islam dilarang berpegang dan beramal kepada fahaman dan ajaran tersebut. Mereka yang telah mengamalkan fahaman dan ajaran ini hendaklah segera bertaubat serta memohon keampunan daripada Allah SWT.


Fahaman dan ajaran yang dibawa oleh Ismail bin Kasim ini hendaklah disekat keseluruhannya daripada disebarkan kepada umat Islam di negara ini.

Klik disini untuk mencetak