JAKIM OFFICIAL WEBSITE
Responsive image
Tajuk
:

Menerbit Dan Mengedar Terjemahan Al-Quran Tanpa Teks Asal Al-Quran

Kategori: Lain-lain
Tahun: 2017
Status Pewartaan: Tidak Diwartakan
Negeri: Wilayah Persekutuan
Keputusan
:

Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan Kali Ke-101 yang bersidang pada 26 April 2017 bersamaan 29 Rejab 1438H telah menimbang dan meneliti perkara ini dan mengambil pandangan bahawa :


(a) Terjemahan makna ayat-ayat al-Quran dalam penulisan seperti buku agama, akhbar, jurnal, majalah, dan seumpamanya tanpa disertakan bersama teks asal al-Quran dalam Bahasa Arab adalah diharuskan. Terjemahan tersebut adalah satu bentuk penafsiran makna ayat-ayat dalam al-Quran, dan penafsiran ayat-ayat Al-Quran adalah diharuskan secara kesepakatan ulama.


(b) Terjemahan ayat-ayat Al-Quran dalam bentuk seperti ini juga adalah sebagai keterangan dan penghujahan terhadap apa yang terkandung di dalam penulisan, dan bukannya bermaksud ia adalah Kalam Allah yang dibaca. Justeru, tidak ada halangan dari sudut Syarak untuk membawakan terjemahan ayat-ayat Al-Quran dalam penulisan tanpa disertakan teks asal ayat Al-Quran.


(c)  Walau bagaimanapun adalah lebih digalakkan untuk menyertakan sekali teks asal Al-Quran yang dalam Bahasa Arab kecuali jika dibimbangi ia akan mencemarkan kemuliaan dan kesucian ayat-ayat Al-Quran, seperti penulisan di dalam buku-buku agama, surat-surat khabar, jurnal, majalah atau seumpama dengannya.


(d) Manakala penerbitan dan pengedaran terjemahan Al-Quran tanpa teks asal Al-Quran, Muzakarah telah meneliti hujah-hujah dan pandangan seperti berikut :  


(i)   Dalam kitab Manāhil al-ʿIrfān dinyatakan:

يجب عند ترجمة القرآن بهذا المعنى إلى أية لغة أن تكتب الآيات القرآنية

Maksudnya: “Dalam penterjemahan Al-Quran -dengan pengertian ini (terjemah makna/ tafsir)- ke dalam apa jua bahasa, wajib ditulis ayat-ayat Al-Quran” (Al-Zurqānī, t.t.: 2/134).


(ii) Dalam kitab Al-Tafsīr wa al-Mufassirūn, pengarangnya menyebut bahawa antara syarat-syarat penterjemahan al-Quran ialah:

أن يكتب القرآن أولاً، ثم يؤتى بعده بتفسيره، ثم يتبع هذا بترجمته التفسيرية

Maksudnya: “Hendaklah ditulis Al-Quran terlebih dahulu, kemudian dibawakan tafsirannya, kemudian diikuti dengan terjemahannya secara tafsir” (Husain al-Dhahabī, t.t.: 1/24).


(iii)  Kewujudan suatu buku terjemahan Al-Quran tanpa teks asal Al-Quran akan membawa kepada anggapan bahawa buku tersebut adalah Al-Quran yang merupakan kalam Allah, tetapi bukan dalam Bahasa Arab dan bersifat maksum iaitu terpelihara daripada segala kekurangan dan kesilapan.


(iv)  Kewujudan buku terjemahan Al-Quran tanpa teks asal Al-Quran boleh membawa fahaman kepada orang awam bahawa membaca buku terjemahan Al-Quran tersebut sebagai bacaan seperti membaca al-Quran. Sedangkan membaca Al-Quran selain Bahasa Arab adalah tidak dibenarkan. Al-Nawawī menyebut:


مَذْهَبُنَا أَنَّهُ لَا يَجُوزُ قِرَاءَةُ الْقُرْآنِ بِغَيْرِ لِسَانِ الْعَرَبِ سَوَاءٌ أَمْكَنَهُ الْعَرَبِيَّةُ

أَوْ عَجَزَ عَنْهَا وَسَوَاءٌ كَانَ فِي الصَّلَاةِ أَوْ غَيْرِهَا

Maksudnya: “Dalam mazhab kita (Sḥāfiʿī) tidak harus membaca Al-Quran dengan bahasa selain Bahasa Arab, sama ada seseorang itu mampu berbahasa arab atau tidak mampu dan sama ada di dalam sembahyang ataupun di luar sembahyang” (Al-Nawawī, t.t.: 3/379).


(v)  Membaca terjemahan Al-Quran tanpa disertakan dengan teks asal al-Quran akan mendorong masyarakat awam meninggalkan daripada membaca teks asal Al-Quran.


KEPUTUSAN


Setelah meneliti dan berasaskan kepada pertimbangan antara maṣlaḥah dan mafsadah dalam isu ini, Jawatankuasa berpandangan sisi mafsadah lebih terserlah, maka mesyuarat berpandangan bahawa Penerbitan dan Pengedaran Terjemahan Al-Quran Tanpa Teks Asal Al-Quran adalah dilarang.

Klik disini untuk mencetak