JAKIM OFFICIAL WEBSITE
Responsive image
Tajuk
:

Penambahbaikan Pelaksanaan Fidyah Dan Kaffarah Di Bahagian Baitulmal Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP)

Kategori: Ibadah
Tahun: 2017
Status Pewartaan: Tidak Diwartakan
Negeri: Wilayah Persekutuan
Keputusan
:

Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan Kali Ke-102 yang bersidang pada 30 Mei 2017 bersamaan 4 Ramadan 1438H telah menimbang dan meneliti perkara ini dan membuat keputusan seperti berikut:


(a)   Kadar Bayaran Fidyah adalah sebanyak RM 4.00

Kadar ini berdasarkan kepada nillai ½ gantang gandum iaitu sebanyak RM 3.00 dan satu ringgit tambahan sebagai langkah berjaga-jaga.


(b)  Konsep Gandaan Bagi Penentuan Bayaran Fidyah

Apabila seseorang yang meninggal puasa dan tidak menggantikan puasa tersebut maka hendaklah menggandakan fidyah tersebut mengikut bilangan tahun yang dilangkauinya.


(c)   Penentuan Takrifan Kadar Memberi Makan Kepada Orang Miskin Dalam Pelaksanaan Kaffarah

Merujuk kepada pelaksanaan kaffarah di atas, terdapat 2 situasi yang memberi makan kepada orang miskin iaitu:


i. Kaffarah kerana membatalkan puasa bulan ramadhan dengan bersetubuh dan Zihar:

“Memberi makanan kepada 60 orang miskin sekiranya tidak mampu berpuasa atau tidak mampu berpuasa berturut-turut kerana tua atau sakit.” 


ii. Kaffarah melanggar sumpah dan tidak menunaikan nazar:

“Memberi makan kepada 10 orang miskin dengan makanan yang sederhana, yang biasa diberikan oleh seseorang kepada keluarganya.”


Mesyuarat bersetuju untuk menetapkan kadar memberi makan kaffarah tersebut sebanyak RM 10.00 kerana mengambil kira kadar memberi makan kepada golongan miskin adalah yang bersesuaian pada masa sekarang.


(d)  Penentuan Takrifan Kadar Memberi Pakaian Kepada Orang Miskin Dalam Pelaksanaan Kaffarah

    Merujuk juga kepada pelaksanaan kaffarah melanggar sumpah dan tidak menunaikan nazar iaitu:

Memberi pakaian kepada 10 orang miskin, seperti kain, stoking, penutup kepala tanpa mengira bentuknya.


Sehingga kini pihak Baitulmal MAIWP belum melaksanakannya kerana pembayar memilih untuk membuat bayaran dengan memberi makanan kepada orang miskin.


Sehubungan itu, Baitulmal MAIWP mencadangkan agar penentuan kadar pemberian pakaian untuk seorang miskin bagi pelaksanaan kaffarah perlu ditentukan agar nilai lebih sesuai dengan keadaan semasa dan memudahkan masyarakat melunaskan kaffarah.


Mesyuarat telah bersetuju untuk menetapkan kadar kaffarah memberi pakaian ini sebanyak RM 60.


(e)  Penentuan Kaffarah Bagi Persetubuhan Ketika Isteri Dalam Keadaan Haid

Mesyuarat memutuskan bahawa persetubuhan ketika isteri dalam keadaan haid, tidak diwajibkan membayar kaffarah .


Walaubagaimanapun jika pelaku tersebut ingin juga membuat bayaran maka bolehlah membayarnya sebagai langkah berjaga-jaga dengan kadar samada satu Dinar atau ½ Dinar .


Klik disini untuk mencetak