JAKIM OFFICIAL WEBSITE
Responsive image
Tajuk
:

Hukum Solat Cara Duduk Di Atas Kerusi Bagi Orang Yang Uzur

Kategori: Ibadah
Tahun: 2016
Status Pewartaan: Tidak Diwartakan
Negeri: Kedah
Keputusan
:

Solat merupakan ibadah asas dalam Islam. Setiap mukallaf wajib melaksanakan solat dalam apa jua keadaan termasuk ketika keuzuran. Kaedah solat ketika darurat atau keuzuran hendaklah mengikut keadaan dan kemampuan sama ada dalam keadaan berdiri, duduk, mengiring dan sebagainya.


I.    Jumhur Ulama’ menyatakan bahawa jika seseorang mendirikan solat fardhu secara duduk sedangkan dia mampu melakukannya secara berdiri maka batal solat tersebut. Ini berdasarkan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: ”Diriwayatkan bahawa Imran Bin Husain RA telah mengalami penyakit buasir. Beliau bertanya kepada Nabi SAW lalu baginda menjawab; ”Solatlah kamu secara berdiri, jika tidak mampu lakukanlah secara duduk (qa’idan) dan jika tidak mampu juga lakukanlah secara mengiring.”


II.   Sebahagian Ulama’ berpandangan bahawa solat secara duduk di atas kerusi adalah harus dan sah kerana perkataan ”qa’ada” dalam bahasa Arab memberi pengertian duduk secara umum sama ada duduk di atas kerusi atau duduk di atas lantai. Hal ini dapat difahami daripada beberapa dalil antaranya Hadis Riwayat Abi Bakrah RA yang bermaksud  ”Bahawasanya Nabi SAW duduk di atas untanya” dan hadis yang diriwayatkan oleh Fatimah bintu Qais RA yang bermaksud ”Bahawasanya Nabi SAW duduk di atas mimbar.” Maka maksud kalimah ”qa’ada” boleh diguna dalam kedua-dua keadaan.


III.   Justeru, aplikasi ”duduk” ketika solat boleh dibahagikan kepada beberapa kategori seperti berikut;

 

 i. Sesorang yang mampu untuk berdiri, rukuk, sujud dan duduk (iftirasy / tawarruk / tarabbu’ / lainnya)* maka wajib mendirikan solat secara lazimnya.


 ii. Seseorang yang mampu untuk berdiri dan rukuk tetapi tidak mampu untuk sujud dan duduk (iftirasy / tawarruk / tarabbu’ / lainnya) maka;


-   Wajib qiam ketika takbiratul ihram dan membaca Surah Al-Fatihah serta rukuk dan iktidal secara lazimnya.


-   Rukun sujud dilaksanakan dalam keadaan duduk sama ada duduk di atas lantai (paling utama) atau duduk di atas kerusi (bagi yang tidak mampu duduk di atas lantai kerana sakit lutut dan sebagainya).


Bil : (38) dlm.JMNK(F)602 Jld.23


 iii.         Seseorang yang mampu untuk berdiri sahaja manakala rukun yang lain iaitu    rukuk, sujud dan duduk tidak mampu dilaksanakan secara lazimnya maka;


-   Wajib qiam ketika takbiratul ihram dan membaca Surah Al-Fatihah bagi rakaat pertama.


-   Rukun rukuk, sujud, duduk di antara dua sujud dan tasyahud dilaksanakan dalam keadaan duduk sama ada duduk di atas lantai (paling utama) atau duduk di atas kerusi (bagi yang tidak mampu duduk di atas lantai kerana sakit lutut dan sebagainya).


-   Sekiranya mampu untuk berdiri semula bagi meneruskan rakaat kedua maka wajiblah ke atasnya berdiri semula dan iktidal namun jika sebaliknya maka harus untuk meneruskan rakaat kedua dalam keadaan duduk.


 iv.         Seseorang yang tidak mampu untuk berdiri melainkan duduk (iftirasy / tawarruk / tarabbu’ / lainnya) sahaja maka semua rukun solat harus dilaksanakan secara duduk di atas lantai.

  

 v.         Seseorang yang tidak mampu untuk berdiri dan duduk (iftirasy / tawarruk / tarabbu’ / lainnya) melainkan duduk di atas kerusi sahaja maka semua rukun solat harus dilaksanakan secara duduk di atas kerusi.


 vi.    Seseorang yang langsung tidak mampu untuk berdiri, rukuk, sujud dan duduk (iftirasy / tawarruk / tarabbu’ / lainnya) maka bolehlah melaksanakan solat secara mengiring dan jika tidak mampu mengiring maka bolehlah dilakukan secara berbaring.


* Iftirasy:            Duduk dengan cara bahagian belakang (punggung) berada di atas

kaki kiri manakala jari kaki kanan diarahkan ke kiblat atau dengan istilah lain duduk antara dua sujud.


Tawarruk:        Duduk dengan cara bahagian belakang (punggung) berada di atas lantai, hujung kaki kiri dikeluarkan ke sebelah kanan manakala tumit kaki kanan ditegakkan dan jari kaki kanan diarah ke kiblat).


Tarabbu’:         Duduk dengan cara bahagian belakang (punggung) berada di atas lantai, kedua paha dimajukan ke hadapan sementara betis kanan diselipkan ke sebelah kiri dan demikian juga sebaliknya atau dengan istilah lain duduk bersila.


Lainnya:           Duduk di atas lantai namun kaedah yang berbeza daripada Iftirasy, Tawarruk dan Tarabbu’.


Wallahu a’lam.


Klik disini untuk mencetak