JAKIM OFFICIAL WEBSITE
Responsive image
Tajuk
:

Kewajipan Zakat Perniagaan Ke Atas Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) Negeri Perak Darul Ridzuan.

Kategori: Zakat
Tahun: 2016
Status Pewartaan: Tidak Diwartakan
Negeri: Perak
Keputusan
:

Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak kali ke 209 bertarikh 22 Ogos 2016M /19 Zulkaedah 1437H (Isnin) telah memutuskan seperti berikut:


1. Mesyuarat setelah mendengar penjelasan, meneliti hujah-hujah dan pandangan mendapati bahawa pada asasnya sesuatu perniagaan yang dilakukan perlu dikenakan zakat apabila telah mencukupi syaratnya.



2. Kewajipan berzakat juga dikenakan ke atas semua syarikat yang mempunyai pemilikan yang sempurna (ملك التام).

Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah, ayat 267 :


يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَنفِقُوا مِن طَيِّبَاتِ مَا كَسَبْتُمْ وَمِمَّا أَخْرَجْنَا لَكُم

مِّنَ الْأَرْضِ ۖ


" Hai orang-orang yang beriman, nafkahkanlah (di jalan Allah) sebagian dari hasil usahamu yang baik-baik dan sebagian dari apa yang Kami keluarkan dari bumi untuk kamu ". 


3. Mesyuarat mendapati bahawa Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) Negeri Perak Darul Ridzuan mempunyai beberapa unsur yang menyebabkan zakat perlu dikenakan seperti asas berikut :


3.1 Ia adalah merupakan entiti yang berasingan  (seperate legal entity atau ( " شخصية إعتبارية " ).

3.2 Pengurusan kewangan syarikat terbabit terpisah sepenuhnya daripada Kumpulan Wang Disatukan (Pengurusan Kewangan Kerajaan Negeri).

3.3 Manfaatnya tidak kembali kepada manfaat umum kecuali melalui agihan dividen dan pembayaran cukai karporat.

3.4 Percampuran pemilikan antara kepentingan kerajaan dengan pemilikan individu dan swasta. 

3.5 Pihak kerajaan tidak dapat bertindak sebagai pembuat keputusan secara mutlak (decision maker) dalam urusan syarikat.


4. Oleh yang demikian mesyuarat menyarankan agar Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) Negeri Perak Darul Ridzuan dapat melaksanakan kewajipan zakat kepada pihak Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Perak (MAIAMPk).


Klik disini untuk mencetak