Penggunaan Wang Wakaf Tunai Bagi Projek Wakaf Bot.
Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak kali ke 209 bertarikh 22 Ogos 2016M /19 Zulkaedah 1437H (Isnin) telah memutuskan seperti berikut:
1) Mesyuarat memperaku dan bersetuju supaya digunakan wang wakaf tunai bagi projek wakaf bot di bawah tabung dana Wakaf Perak Ar-Ridzuan (WPAR).
2) Mesyuarat bersetuju wang tersebut diserahkan kepada pihak koperasi yang bertindak sebagai pengurus projek dan dipantau oleh pihak Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Perak (MAIPk).
3) Kaedah pengendalian wakaf bot ini dikehendaki menepati kaedah asas berkaitan wakaf seperti berikut :
a) Tidak Dijual, Tidak Dihadiahkan Dan Tidak Diwarisi ;
أنَّهُ لا يُباعُ ولا يُوهَبُ ولا يُورَثُ
Sesungguhnya ia tidak dijual, tidak dihadiahkan dan tidak boleh diwarisi. - (HR.Bukhari).
b) Pihak koperasi hendaklah menyelia projek mengikut terma dan syarat yang telah diletakkan oleh Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Perak (MAIPk).
c) Sewaan bot hendaklah diberikan kepada nelayan dan ahli koperasi yang berkemampuan, berkemahiran dan amanah bagi menjamin kelangsungan harta wakaf.
إِنَّ خَيْرَ مَنِ اسْتَأْجَرْتَ الْقَوِيُّ الْأَمِينُ
" Sesungguhnya orang yang paling baik yang kamu ambil untuk bekerja (pada kita) ialah orang yang kuat lagi dapat dipercayai".(Al-Qasas:26).