Pohon Pandangan Jawatankuasa Fatwa Bagi Menggunakan Perbelanjaan Di Bawah Sinf Fisabilillah Untuk Majlis Penyampaian Sijil SPAIT Tahap Mutawassit Tahun 2016 Dan Semua Majlis SPAIT
Berdasarkan maklumat yang disampaikan oleh pembentang dan hasil perbincangan yang dibuat, maka Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Terengganu Kali Ke-24 Penggal Ke-11 yang bersidang pada 14 Rabiul Awal 1438 bersamaan 14 Disember 2016 sebulat suara membuat keputusan seperti berikut :
Demi meninggikan syiar Islam dan memartabatkan ilmu Islam dalam usaha untuk membebaskan diri daripada belenggu kejahilan, maka mesyuarat bersetuju membenarkan penggunaan wang sinf fisabilillah untuk semua perkara berkaitan Sijil Pengajian Agama Islam Terengganu (SPAIT). Namun begitu, segala perbelanjaan biarlah berhemat bagi mengelakkan pembaziran dan tidak terkeluar daripada matlamat asal Sijil Pengajian Agama Islam Terengganu (SPAIT).