Aktiviti Dan Kedudukan Raja Bomoh Sedunia Ibrahim Mat Zin
Muzakarah mendapati bahawa Amalan dan upacara Perbomohan Ibrahim Mat Zin melibatkan amalan-amalan dan upacara yang menggambarkan kepercayaan khurafat dan tahyul melalui penggunaan pelbagai peralatan.Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan Bil 4/2017-1438H yang bersidang pada 25 Mei 2017 bersamaan 28 Sya’aban 1438H telah bersetuju menerima keputusan Muzakarah Fatwa Kebangsaandan dan memutuskan dengan sighah seperti berikut :
1. Bahawa upacara dan amalan perbomohan Ibrahim bin Mat Zin untuk apa-apa tujuan dengan menggunakan atau tidak menggunakan apa-apa objek adalah menyeleweng dan berlawanan dengan ajaran Islam.
2. Oleh yang demikian, mana-mana orang Islam atau kumpulan orang Islam adalah dilarang:
a. Menganut, mengamal, menjadi ahli, menjadi pengikut, mengisytiharkan diri sebagai ahli, mengisytiharkan diri sebagai pengikut perbomohan tersebut; atau
b. Memiliki, menyimpan, mencetak, menerbit, memuat naik, memuat turun, menjual, mengedar atau menggunakan apa-apa terbitan, risalah, majalah, buku, media sosial, dokumen, rakaman audio, filem amalan atau upacara perbomohan tersebut; atau
c. Mengajar, menyebar, menghidup, membantu, menganjur, mempromosi upacara, atau amalan perbomohan tersebut, menghadiri apa-apa upacara yang dikaitkan dengan amalan perbomohan tersebut atau menyokong apa-apa aktiviti perbomohan tersebut sama ada secara langsung atau tidak langsung.
3. Mana-mana orang Islam adalah dilarang bersubahat daripada melakukan mana-mana perkara yang dinyatakan dalam perenggan (ii).
4. Mana-mana orang Islam atau kumpulan orang Islam yang telah melibatkan diri dengan upacara dan amalan perbomohan Ibrahim bin Mat Zin sebagaimana yang dinyatakan dalam perenggan (ii) hendaklah bertaubat.
Status Pewartaan : Proses Warta