JAKIM OFFICIAL WEBSITE
Responsive image
Tajuk
:

Pelupusan Anggota, Tisu Dan Janin Orang Islam


Kategori: Perubatan
Tahun: 2018
Status Pewartaan: Tidak Diwartakan
Negeri: Negeri Sembilan
Keputusan
:

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Bil 3/2018-1439H yang bersidang pada 29 Mac 2018 bersamaan 11 Rejab 1439H telah bersetuju dan memutuskan berkenaan Hukum Pelupusan Anggota, Tisu dan Janin Orang Islam dengan sighah seperti berikut 


1. Pengurusan pelupusan anggota dan tisu orang Islam:-

 

i. Anggota dan Tisu Orang Islam Yang Hidup:


Menurut Jumhur Fuqaha, anggota badan manusia yang terpotong daripada jasad yang masih lagi hidup hendaklah ditanam tanpa dibasuh dan tanpa disolat walaupun ia hanyalah kuku atau rambut.

 

ii. Anggota dan Tisu Orang Islam Yang Mati:

 

a. Menurut Mazhab Hanafi dan Maliki, jika ditemui sebahagian besar daripada anggota jenazah, maka ia hendaklah dimandi, dikafan, disembahyang dan dikebumikan.


b. Bagi mazhab Syafie dan Hanbali, ia hendaklah dimandi, dikafan disembahyang dan dikebumikan walaupun sebahagian kecil dijumpai anggota jenazah tersebut.

 

2. Pengurusan pelupusan anggota dan tisu orang bukan Islam. Ia hendaklah ditanam atau dibakar mengikut ajaran agama mereka.

 

3. Pengurusan anggota dan tisu yang merbahayakan kesihatan dan mencemarkan alam sekitar

 

i. Organ-organ dan tisu-tisu yang dibuang dan dipotong daripada badan pesakit sama ada pesakit Islam atau bukan Islam hendaklah ditanam.


ii. Sekiranya organ-organ atau tisu-tisu tersebut terdiri daripada kumpulan penyakit berjangkit maka pihak hospital hendaklah menghapuskan kuman penyakit berjangkit tersebut dengan ubat-ubat tertentu kemudian hendaklah ditanam organ-organ atau tisu-tisu tersebut.


iii. Proses pembakaran ataupun penunuan untuk tujuan melupuskan anggota dan tisu orang Islam adalah tidak dibenarkan kecuali sekiranya tiada cara atau kaedah untuk menghapuskan kuman penyakit tersebut, maka diharuskan organ-organ atau tisu-tisu ini dibakar.

 

4. Pengurusan janin orang Islam mengikut Mazhab Syafie

 

a. Janin yang dilahirkan sebelum cukup tempoh mengandung (minimum) enam bulan dua lahzoh:


i. Jika diketahui hayatnya maka wajib dimandikan dan disolatkan. Dia juga berhak mewarisi dan diwarisi hartanya sebagaimana hukum-hakam berkaitan dengan orang yang hidup sempurna.


ii. Sekiranya tidak diketahui hayatnya tetapi terzahir rupa bentuk manusia, maka diwajibkan mandi sahaja tanpa perlu solat ke atasnya.


iii. Sekiranya tidak terzahir rupa bentuk manusia, maka tidak diwajibkan mandi.

 

b. Janin yang dilahirkan semasa dan selepas tempoh enam bulan dua lahzoh :


i. Sekiranya janin dilahirkan dalam keadaan mati, maka wajib dimandikan, sunat diberikan nama dengan syarat telah ditiupkan roh ke atasnya serta tidak berhak mewarisi dan diwarisi hartanya.

(Sumber :Fiqh ala Mazahib al-Arba’ah, Abdul Rahman al-Jaziry, Maktabah al-Taufiqiyyah, Jld 1 hlm 457.

 

5. Pengurusan janin yang hidup seketika ketika dilahirkan mengikut Mazhab Hanafi, Maliki dan Hanbali:

 

i. Jika ia hidup seketika selepas dilahirkan, maka hendaklah diberi nama, dimandi dan disembahyangkan. Dia juga berhak mewarisi dan diwarisi hartanya sebagaimana hukum-hakam berkaitan dengan orang yang hidup sempurna

 

6. Pengurusan janin yang mati ketika dilahirkaMenurut mazhab Hanafi, jika janin itu keluar dalam keadaan mati, dan tiada sebarang tanda awal hidup, maka ia hendaklah dimandi, diberi nama, dibungkus dalam secebis kain dan dikebumikan tanpa solat.

 

i. Bagi mazhab Maliki pula, mereka berpandangan tidak dimandikan janin yang tiada sebarang tanda-tanda hidup seperti tangisan dan gerakan bayi tidak dikira sebagai tanpa hidup. Menurut Ibn Syihab, tidak disembahyangkan ke atas janin, namun ia boleh dikebumikan bersama-sama ibunya.


ii. Tiada tangisan sewaktu kelahiran, jika kandungan yang tidak sampai tempoh empat bulan ke atas, maka ia tidak wajib dimandi, dikafan dan disolatkan. Namun, disunatkan ia dikafankan dengan kain dan dikebumikan tanpa solat.


iii. Dalam mazhab Hanbali pula, sebagaimana yang dikatakan oleh Ibn Qudamah, jika janin telah mencapai usia empat bulan atau telah sempurna kejadiannya, maka ia dimandi dan disembahyangkan walaupun tiada sebarang tanda-tanda awal hidup serta disunatkan juga diberi nama padanya

 

7. Peraturan pengurusan pelupusan sedia ada

 

i.  Berdasarkan kepada amalan semasa, pihak konsesi akan melupuskan segala tisu, organ dan janin sama ada clinical waste atau chemical waste secara penunuan (incineration).


ii. Proses pembakaran ataupun penunuan untuk tujuan melupuskan segala tisu, organ dan janin adalah tidak dibenarkan kecuali sekiranya tiada cara atau kaedah untuk menghapuskan kuman penyakit tersebut, maka diharuskan dibakar.

 

8. Berhubung dengan cadangan untuk menanam bahan yang mengandungi formalin dan bahan kimia lain (chemical waste) pihak Kementerian Kesihatan Malaysia pernah berbincang hal tersebut dengan Jabatan Alam Sekitar, mereka mencadangkan agar bahan-bahan tersebut ditanam di kawasan-kawasan yang jauh lebih kurang 100 meter daripada punca air. Selain itu, dicadangkan juga agar tempat penanaman tersebut berdekatan dengan kubur yang sedia ada asalkan jauh dari punca air, kawasan perumahan, telaga dan empangan.

 

Status pewartaan : Tidak diwartakan


Klik disini untuk mencetak