JAKIM OFFICIAL WEBSITE
Responsive image
Tajuk
:

Pemeliharaan Anjing Sebagai Haiwan Peliharaan Oleh Orang Islam

Kategori: Haiwan
Tahun: 2017
Status Pewartaan: Tidak Diwartakan
Negeri: Pulau Pinang
Keputusan
:

Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang Bil. 4/2017 yang bersidang pada 14-15 Ogos 2017 telah membincangkan mengenai Hukum Pemeliharaan Anjing Sebagai Haiwan Peliharaan Oleh Orang Islam. Mesyuarat telah membuat keputusan seperti berikut:


1. hukum memelihara anjing di rumah oleh orang Islam sebagai haiwan peliharaan (pet) adalah haram melainkan untuk tujuan muktabar yang termasuk dalam keperluan dan kemaslahatan. Antaranya adalah untuk tujuan:


(i) Perburuan; anjing yang digunakan bukanlah anjing "comel" dijadikan "teman" untuk bermanja, tetapi anjing yang garang atau tahan lasak dan sesuai dijadikan untuk berburu. Walau bagaimanapun, Islam hanya membenarkan perburuan adalah untuk mendapatkan makanan, bukan memburu kerana sukan, suka-suka dan berseronok-seronok kerana Islam tidak membenarkan haiwan dibunuh atau diseksa atau diusir dari tempat yang lazim mereka tinggal, hanya untuk suka-suka;

(ii) Anjing pemandu jalan; untuk dijadikan anjing pemandu jalan seperti untuk orang buta sekiranya amat memerlukan dan tiada orang lain yang dapat membantu;

(iii)  Keselamatan; untuk tujuan keselamatan pihak berkuasa seperti Polis dan Kastam, dan juga untuk mengawal keselamatan di sekitar rumah;

(iv) Membantu penternakan haiwan.


2. Perbuatan memegang anjing secara sengaja, tanpa sebarang sebab yang dibenarkan dalam Islam akan menimbulkan keresahan di kalangan umat Islam kerana ianya bercanggah dengan pegangan mazhab dan uruf di Malaysia. Menurut mazhab syafie, umat Islam adalah dilarang menyentuh anjing secara sengaja kerana menajiskan diri tanpa tujuan yang munasabah adalah haram di sisi Islam.


3. Walaupun Islam meletakkan kaedah sertu apabila terkena najis yang dikategorikan sebagai mughallazah namun kaedah tersebut bukanlah alasan untuk membolehkan seseorang itu memegang najis mughallazah secara sengaja. Tindakan tersebut samalah seperti orang yang sengaja melakukan dosa dengan alasan akan bertaubat kemudiannya.


4. Perbuatan mana-mana orang Islam yang memelihara anjing sebagai haiwan peliharaan (pet) akan disalah tafsir dan dilihat seolah-olah cuba mencipta budaya baru yang boleh membawa kepada perbuatan menghina agama Islam. Oleh yang demikian, mereka perlu segera meninggalkan perbuatan tersebut dan kembali bertaubat kepada Allah.


5. Justeru, umat Islam dinasihatkan agar tidak menjadikan anjing sebagai haiwan peliharaan. Ini kerana Islam mewajibkan umatnya untuk memelihara kesucian diri, pakaian dan tempat tinggal agar ia tidak menjejaskan amal ibadah seharian.


Klik disini untuk mencetak