JAKIM OFFICIAL WEBSITE
Responsive image
Tajuk
:

Penjualan Produk Menggunakan Ayat Ruqyah (Ayat Al-Quran) Untuk Tujuan Komersial

Kategori: Muamalat/Ekonomi
Tahun: 2017
Status Pewartaan: Tidak Diwartakan
Negeri: Pulau Pinang
Keputusan
:

Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang Bil. 5/2017 yang bersidang pada 24-25 OKtober 2017 telah membincangkan mengenai Hukum Penjualan Produk Menggunakan Ayat Ruqyah (Ayat Al-Quran) Untuk Tujuan Komersial. Mesyuarat telah membuat keputusan seperti berikut:


(i) Setelah meneliti fakta-fakta, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan, mesyuarat menegaskan bahawa Islam tidak menafikan penggunaan ruqyah dan Rasulullah SAW menyebutkan bahawa sebaik-baik ubat ialah ayat-ayat al- Quran dan Baginda membolehkan untuk meruqyah selama mana tidak berlaku syirik.


(ii) Berdasarkan dapatan kajian yang dikemukakan, mesyuarat mendapati bahawa isu produk yang dilabelkan sebagai ‘makanan sunnah’ dan makanan/minuman yang diruqyahkan dengan ayat al-Quran serta zikir semakin berleluasa dan menjadi pelan pemasaran pengusaha produk-produk makanan dan barangan di Negara ini. Ia telah menjadi kaedah untuk melariskan produk bersandarkan perkataan ‘makanan sunnah’ dan ruqyah.


(iii) Sehubungan dengan itu, sebagai Sadd az-Zarai’ kepada unsur-unsur penipuan dan penyalahgunaan ayat-ayat al-Quran untuk tujuan komersial, mesyuarat bersetuju memutuskan bahawa penggunaan ruqyah dan istilah ‘makanan sunnah’ secara tidak bertanggungjawab untuk tujuan mengaut keuntungan dan melariskan produk perlu dihentikan kerana dibimbangi ia termasuk dalam perbuatan memperdagangkan ayat-ayat al-Quran yang ditegah oleh ajaran Islam.


(iv) Oleh hal yang demikian, mesyuarat menggesa supaya perbuatan tersebut ditangani segera supaya istilah ‘makanan sunnah’ ini tidak difahami oleh masyarakat dalam konteks yang tidak tepat, dan penggunaan ruqyah tidak disalahgunakan sehingga menggugat akidah sekiranya masyarakat meyakini keberkesanan ruqyah pada sesuatu produk tersebut mengatasi usaha dan ikhtiar serta kekuasaan Allah SWT.


(v) Mesyuarat juga bersetuju memutuskan supaya penggunaan ruqyah pada sesuatu produk untuk tujuan komersial tidak dibenarkan sama ada untuk tujuan pelabelan, pengiklanan atau promosi.


Klik disini untuk mencetak