JAKIM OFFICIAL WEBSITE
Responsive image
Tajuk
:

Fatwa Mengenai Hukum Menggunakan DNA Untuk Menentukan Status Nasab Anak

Kategori: Munakahat
Tahun: 2014
Status Pewartaan: Diwartakan
Negeri: Pulau Pinang
Keputusan
:

Mesyuarat Jawatakuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang Bil. 1/2013 yang bersidang pada 30 Januari 2013 memutuskan seperti berikut:


1. Setelah meneliti keterangan, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan, mesyuarat menegaskan bahawa Islam sangat menitikberatkan persoalan nasab dan apabila telah ada dalil yang mengisbatkan nasab, maka penafiannya tidak boleh diterima melainkan dengan kaedah Li'an kerana Li'an telah sabit melalui al-Quran, al-Sunnah dan al-Ijma' dan merupakan suatu amalan Ta'abuddiah.


2. Mesyuarat juga menjelaskan bahawa Majma' Fiqh al-lslami yang bersidang pada 21-26 Syawal 1422 bersamaan 10 Januari 2002 telah memutuskan bahawa untuk mengisbatkan nasab, penggunaan DNA dibenarkan dan dilakukan atas perintah mahkamah hanya dalam kes pertelingkahan ketidaktahuan nasab anak atas pelbagai sebab, kes kekeliruan atau pertukaran anak di hospital atau pusat jagaan, kes bayi tabung uji serta dalam kes anak-anak yang hilang atas sebab bencana alam dan sebagainya. Walau bagaimanapun, Majma' al-Fiqh al-Islami menetapkan bahawa DNA tidak boleh digunakan untuk menafikan nasab anak apa lagi digunakannya mendahului kaedah Li'an.


3. Mesyuarat menegaskan bahawa para Fuqaha' telah bersepakat bahawa penafian nasab anak melalui kaedah Li'an perlu dilakukan dengan kadar segera dan jika penafian nasab tidak dilakukan dalam tempoh yang ditetapkan, maka gugurlah hak penafian nasab tersebut.


4. Mesyuarat turut menegaskan bahawa merujuk kepada Mazhab Syafie, terdapat dua pandangan iaitu qaul qadim dan qaul jadid. Qaul qadim lmam Syafie menetapkan bahawa penafian hendaklah berlaku sejurus diketahui kelahiran bayi tersebut. Sekiranya penafian tidak dibuat, bermakna seseorang itu telah mengakui bahawa bayi tersebut adalah anaknya. Namun begitu, dalam qaul jadid, penafian tidak semestinya secara terus. la memerlukan masa sebelum sesuatu keputusan diambil memandangkan ia merupakan satu perkara yang penting.Ia boleh ditangguhkan sehingga tiga hari dan penangguhan hanya boleh berlaku atas sebab-sebab keuzuran.


5. Sehubungan dengan itu, berdasarkan penegasan dan pandangan ulama' mengenai tempoh segera bagi melakukan Li'an untuk menafikan nasab anak, mesyuarat berpandangan bahawa seseorang yang hendak melakukan Li'an bagi penafian nasab anaknya perlu mempunyai tempoh waktu yang munasabah sebelum membuat keputusan demi mengelakkan sebarang kemudharatan yang mungkin berlaku.


6. Oleh yang demikian, mesyuarat bersetuju memutuskan bahawa tempoh segera bagi seseorang bapa yang hendak melakukan Li'an bagi menafikan nasab anaknya adalah bermula daripada tarikh isterinya disahkan mengandung sehinggalah tiga (3) hari selepas bersalin. Penafian setelah tempoh munasabah tersebut adalah tertolak dan anak tersebut adalah sah dan sabit sebagai anaknya.


7. Mesyuarat juga bersetuju memutuskan supaya garis panduan untuk menjalankan ujian DNA oleh pihak berkuasa berkaitan hendaklah diperketatkan Iebih-lebih Iagi dalam isu untuk menafikan nasab kerana DNA hanya sekadar qarinah atau sokongan semata-mata dan tidak boleh dijadikan bukti utama.


Tarikh Warta: 3 Julai 2014

No. Warta: 530

Klik disini untuk mencetak