JAKIM OFFICIAL WEBSITE
Responsive image
Tajuk
:

Menghisap Shisha Menurut Pandangan Syarak

Kategori: Perubatan
Tahun: 2013
Status Pewartaan: Tidak Diwartakan
Negeri: Pulau Pinang
Keputusan
:

Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang Bil. 3/2013 yang bersidang pada 12 September 2013 telah membincangkan mengenai Hukum Menghisap Shisha Menurut Pandangan Syarak. Mesyuarat memutuskan seperti berikut:


1. Setelah mendengar pembentangan dan penjelasan pakar-pakar daripada Kementerian Kesihatan Malaysia dan meneliti maklumat serta bukti-bukti perubatan dan saintifik terperinci yang dikemukakan dalam dan Iuar negara mengenai kesan dan kemudharatan besar yang dihadapi akibat shisha terhadap kesihatan ummah, pembangunan ekonomi negara dan pembentukan generasi akan datang, maka mesyuarat bersetuju memutuskan bahawa shisha adalah haram. Oleh itu, umat Islam adalah dilarang menghisap shisha atau menyediakan perkhidmatan menghisap shisha atau apa-apa aktiviti yang berkaitan dengan shisha.


2. Mesyuarat menegaskan bahawa pengharaman shisha ini adalah berdasarkan nas-nas syarak daripada Al-Quran dan Hadith serta Kaedah Fiqhiyyah bagi memastikan lima perkara asas bagi manusia yang terkandung dalam Maqasid Syari'yyah iaitu menjaga agama, jiwa, akal, keturunan dan harta dapat dipelihara seperti mana tuntutan Syarak, kerana shisha jelas memudharatkan kesihatan, membazir dan mensia-siakan masa dan harta serta dikategorikan sebagai satu perkara yang buruk atau keji, berdasarkan nas-nas berikut:-


(i) Firman Allah S.W.T dalam surah al-Baqarah, ayat 195 yang bermaksud: "Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan."


(ii) Firman Alllah S.W.T dalam surah Al-A'raf ayat 157 yang bermaksud; 'Dan ia menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk."


(iii) لا ضرر ولا ضرار

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:"Tidak boleh memudharatkan (diri sendiri) dan memberi kemudharatan (kepada orang lajn)."

(Hadith riwayat Ahmad, Malik, lbn Majah dan al-Daruqutni)


(iv) Kaedah usul fiqh:

سد الذريعة 

Maksudnya : Menutup pintu kerosakan.

درء المفاسد مقدم على جلب المصالح

Maksudnya : Menolak kerosakan adalah didahulukan daripada mendapat kemaslahatan.


Klik disini untuk mencetak