JAKIM OFFICIAL WEBSITE
Responsive image
Tajuk
:

Kuantifikasi Dan Stabiliti DNA Babi Yang Diekstrak Daripada Daging Campuran Dan Produk Diproses Menggunakan Taqman Real Time Polymerase Chain Reaction Assay

Kategori: Haiwan
Tahun: 2014
Status Pewartaan: Tidak Diwartakan
Negeri: Pulau Pinang
Keputusan
:

Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang Bil. 4/2014 yang bersidang pada 16 Julai 2014 telah membincangkan mengenai Kuantifikasi Dan Stabiliti DNA Babi Yang Diekstrak Daripada Daging Campuran Dan Produk Diproses Menggunakan Taqman Real Time Polymerase Chain Reaction Assay. Mesyuarat memutuskan seperti berikut:


(i) Setelah mendengar pembentangan dan meneliti Iaporan penyelidikan yang telah disahkan oleh Kumpulan Penyelidik daripada Universiti Putra Malaysia (UPM) dan meneliti fakta-fakta, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan, mesyuarat bersetuju menerima dan memperakukan hasil penyelidikan yang telah dikemukakan oleh Kumpulan Penyelidik.


(ii) Berdasarkan dapatan penyelidikan tersebut mesyuarat mendapati bahawa DNA babi boleh menyerap masuk ke dalam produk makanan sama ada ianya disengajakan atau berlaku secara tidak sengaja dan kontaminasi DNA babi yang berlaku boleh diukur dan boleh diketahui sekiranya ia berlaku melalui sentuhan secara fizikal. Kontaminasi juga berkemungkinan berlaku melalui edaran udara apabila daging babi dan bahan lain disimpan di dalam tempat yang sama dan kedua-duanya di dalam keadaan tidak tertutup, walaupun tiada persentuhan fizikal berlaku antara keduanya. Kontaminasi DNA babi tidak akan berlaku sekiranya daging babi dan bahan halal lain disimpan di dalam bekas yang tertutup kemas dan tiada sentuhan secara fizikal.


(iii) Dalam hal ini mesyuarat berpandangan bahawa dalam penghasilan atau pemprosesan sesuatu produk halal, pencemaran atau kontaminasi produk dengan DNA bahan yang diharamkan seperti babi boleh dikawal dari peringkat awal penyediaan bahan mentah Iagi dan sekiranya sesuatu produk itu didapati mengandungi DNA babi semasa proses akhir penghasilannya dan sebelum dipasarkan, maka ia tidak boleh dikategorikan sebagai halal kerana tidak menepati kaedah umum al-balwa.


(iv) Walau bagaimanapun, dalam kes produk siap diproses dan telah dipasarkan kepada pengguna yang pada asasnya telah dihasilkan melalui pemprosesan serta menggunakan bahan-bahan yang suci dan halal, tetapi kemudian didapati telah berlaku kontaminasi DNA babi pada sebahagian produk, maka mesyuarat bersetuju memutuskan bahawa dalam keadaan ini ia adalah dikategorikan sebagai umum al-balwa dan hukum produk tersebut adalah merujuk kepada hukum asal iaitu halal dimakan kerana pencemaran atau kontaminasi yang berlaku adalah di Iuar kawalan dan tidak dapat dielakkan.


Klik disini untuk mencetak