JAKIM OFFICIAL WEBSITE
Responsive image
Tajuk
:

Aliran dan Dakyah Wahhabiah


Kategori: Akidah
Tahun: 2015
Status Pewartaan: Diwartakan
Negeri: Negeri Sembilan
Keputusan
:

Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan telah membincangkan fatwa berkaitan Aliran dan Dakyah Wahhabiah pada mesyuaratnya bertarikh 17 Disember 2014, 25 Februari 2015 dan 24 Mac 2015. Mesyuarat telah memutuskan Aliran dan dakyah Wahhabiah didapati bercanggah dengan pegangan Ahli Sunnah wa al-Jamaah yang menjadi teras pegangan masyarakat Islam di Negeri Sembilan. Percanggahan tersebut berdasarkan kepercayaan, perbuatan dan pengamalan aliran Wahhabiah seperti berikut :


  1. Menolak dan menyesatkan pengamal pendekatan Tauhid Sifat 20;
  2. Menganggap syirik amalan-amalan ahli sunnah seperti perbuatan tawassul, tabarruk dan istighathah dan selawat-selawat yang mengandungi pujian kepada Rasulullah seperti Selawat Syifa' dan Selawat Tafrijiyyah;
  3. Mendakwa bahawa pengikut aliran Asya'irah dan Maturidiyah tidak termasuk dalam golongan Ahli Sunnah wa al-Jamaah;
  4. Membid’ahkan pelbagai amalan ahli sunnah yang bersifat khilafiah sebagai melakukan bid'ah dhalalah dan pengamalnya akan menjadi penghuni neraka;
  5. Menganggap amalan dan sambutan-sambutan yang dilakukan bertujuan memuliakan Rasulullah saw sebagai perbuatan syirik;
  6. Menolak sepenuhnya beramal dengan hadith dhaif;
  7. Memahami al-Quran dan al-Sunnah secara makna zahir semata-mata dan menolak pentakwilan dalam memahami teks al-Quran;
  8. Menolak fahaman bermazhab;
  9. Menolak kefahaman dan amalan tariqat tasawuf yang muktabar;
  10. Mempertikaikan ulama Nusantara yang muktabar serta kitab-kitab karya mereka;
  11. Mempertikaikan fatwa-fatwa atau keputusan pihak berkuasa agama;
  12. Berpegang dengan kefahaman tasybih dan tajsim berdasarkan zahir ayat dan hadith yang mutasyabihat; dan
  13. Mudah mengkafirkan, membid’ahkan dan memfasikkan golongan yang tidak sealiran dengan mereka;

 

Oleh yang demikian, Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan mengambil keputusan bahawa;

 

  1. Mana-mana orang Islam, sama ada secara individu atau berkumpulan yang menjadi penyebar aliran dan dakyah Wahhabiah adalah disifatkan berfahaman Wahhabiah yang bercanggah dengan pegangan Ahli Sunnah wa al- Jamaah;   
  2. Mana-mana orang Islam, sama ada secara individu atau berkumpulan melalui pertubuhan atau persatuan yang menjadi ahli jamaah atau pengikut aliran dan dakyah Wahhabiah dengan berselindung di sebalik apa-apa nama, aktiviti ekonomi, perniagaan, pendidikan, kesenian, dan sebagainya yang mempunyai unsur-unsur persamaan dengan aliran dan dakyah Wahhabiah, adalah disifatkan mengamalkan ajaran, pegangan dan fahaman yang bercanggah dengan pegangan Ahli Sunnah wa al-Jamaah;
  3. Mana-mana orang Islam secara individu atau berkumpulan melalui pertubuhan atau persatuan yang cuba menyebarkan  aliran dan dakyah Wahhabiah, sama ada melalui apa-apa rangkaian, atau mana-mana pertubuhan atau persatuan yang mempunyai unsur-unsur persamaan dengan aliran dan dakyah Wahhabiah adalah disifatkan mengamalkan ajaran, pegangan dan fahaman yang bercanggah dengan pegangan Ahli Sunnah wa al-Jamaah;
  4. Apa-apa variasi, versi, bentuk atau cabang mana-mana aliran dan dakyah Wahhabiah atau apa-apa ajaran, pegangan atau fahaman baru yang mempunyai persamaan dengan unsur-unsur aliran dan dakyah Wahhabiah adalah bercanggah dengan pegangan Ahli Sunnah wa al-Jamaah; atau 
  5. Apa-apa jua bahan publisiti dan sebaran yang menonjolkan tokoh, aliran dan dakyah Wahhabiah atau apa-apa ajaran, pegangan atau fahaman baru yang mempunyai persamaan dengan unsur-unsur aliran dan dakyah Wahhabiah dalam apa jua bentuk penerbitan dan cetakan adalah dilarang.
  6. Apa jua bentuk tindakan seperti yang dinyatakan di atas perlu dihalang dan diambil tindakan menurut undang-undang.


Mesyuarat bersetuju untuk mewartakan fatwa ini. Orang ramai hendaklah membuat aduan kepada pihak berkuasa agama yang berhampiran sekiranya terdapat sebarang keraguan seperti mana dinyatakan.


Status Pewartaan : Proses Warta

Klik disini untuk mencetak