Isu Umat Islam Malaysia Yang Berjuang Atas Nama ISIS
Muzakarah Majlis Fatwa Negeri Sabah Bil. 2/2015 telah bersidang pada 27-29 Oktober 2015M/14-16 Muharam 1437H, bertempat di Hyatt Regency Kinabalu, Kota Kinabalu, Sabah bagi membincangkan mengenai perkara “Isu Umat Islam Malaysia Yang Berjuang Atas Nama ISIS” dan telah bersetuju memutuskan untuk diwartakan di Negeri Sabah bahawa:
1. Muzakarah menegaskan bahawa tindakan umat Islam dari Malaysia yang telah ataupun yang ingin berjuang atas nama jihad di bumi Syria bagi menyokong golongan ISIS atau ISIL adalah sia-sia kerana perjuangan mereka tidak tergolong sebagai jihad dan kematian mereka juga tidak dikategorikan sebagai syahid menurut kerangka Hukum Syarak.
2. Muzakarah menasihatkan seluruh umat Islam di Malaysia supaya menginsafi diri dan tidak mudah terpengaruh atau terjebak dengan keganasan dan propaganda perjuangan kumpulan ISIS dan ISIL ini.
Tarikh Warta: 7 September 2017