Pegangan Dan Akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah
Muzakarah Majlis Fatwa Negeri Sabah Bil. 2/2016 telah bersidang pada 24-26 Mei 2016M/17-16 Muharam 1437H, bertempat di Mount Kinabalu Heritage Resort & Spa, Kundasang, Sabah bagi membincangkan mengenai perkara “Pegangan Dan Akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah” dan telah bersetuju memutuskan untuk diwartakan di Negeri Sabah bahawa:
1. Ahli Sunnah wa al-Jama’ah merujuk kepada kelompok majoriti umat Islam yang berpegang dengan ajaran Islam yang sebenar berdasarkan al-Qur’an dan panduan Nabi Muhammad SAW, para sahabat dan para ulama’ Islam muktabar. Oleh itu, umat Islam hendaklah berpegang dalam hal berkaitan dengan;
(a) Aqidah dan Tauhid, berdasarkan hanya kepada pegangan Imam Abu Hassan alAsh’ari dan Imam Abu Mansur al-Maturidi.
(b) Fiqh dan Syariah, berdasarkan Mazhab Syafi’i di samping meraikan mazhab Hanafi, Maliki, Hanbali dan pandangan Imam-imam muktabar yang lain.
(c) Tasawwuf, berdasarkan manhaj sufi berwibawa seperti Imam Junaid al-Baghdadi dan Imam al-Ghazali.
2. Mana-mana orang Islam sama ada secara individu atau berkumpulan yang mengamalkan (termasuk mempercayai, berpegang, berkeyakinan dan seumpamanya) selain daripada perkara (a), (b), dan (c) adalah menjadi suatu kesalahan dan boleh diambil tindakan di bawah Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Sabah 1995 atau mana-mana undang-undang lain yang berkuat kuasa di Negeri Sabah.
Tarikh Warta: 7 September 2017