JAKIM OFFICIAL WEBSITE
Responsive image
Tajuk
:

Ajaran Ilmu Ma’rifat (Mengenal Allah/ Diri) Oleh Mohd Yusof Che’ Wok Yang Disebarkan Oleh Shaari Bin Mohd Yusof


Kategori: Akidah
Tahun: 2015
Status Pewartaan: Diwartakan
Negeri: Johor
Keputusan
:

Berdasarkan fakta-fakta dan hujah-hujah yang dikemukakan, ahli mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor yang bersidang pada 15 Rabiul Awal 1436 bersamaan 6 Januari 2015 telah mendapati bahawa ajaran ilmu makrifat (mengenal Allah/diri) yang disebarkan oleh haji Shaari bin Mohd Yusof melalui buku “Mengenal Diri Ilmu Peninggalan Tok Kenali Kelantan”, “Mengenal Allah Ilmu Peninggalan Tok Kenali Kelantan”, ceramah-ceramah yang disampaikan, DVD siri ceramah dan laman sesawang yang digunakan untuk menyebarkan ajarannya mengandungi perkara-perkara yang mengelirukan dan menyeleweng seperti berikut:

       

i. Bertentangan dengan fakta sejarah

Dakwaan ilmu yang diperolehi adalah peninggalan ilmu Syeikh Daud al-Fatoni yang diwarisi oleh dua orang ulama’ terkenal iaitu Tok Kenali dan Tok Silihong adalah satu pembohongan kerana kedua ulama tersebut tidak sempat berguru dengan Syeikh Daud al-Fatoni yang meninggal pada tahun 1846, iaitu lebih 22 tahun sebelum kelahiran kedua-dua ulama tersebut. 

  

 ii. Membawa fahaman Mujassamah, Jabariah dan Mu’tazilah

Jumhur Ulama’ telah bersepakat bahawa fahaman ini adalah bertentangan dengan fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah.


iii. Membawa fahaman liberal dan pluralisme agama

Fahaman ini adalah menyeleweng daripada ajaran Islam.

   

iv. Membawa fahaman Wahdatul Wujud

Fahaman ini adalah menyeleweng daripada pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah.


 v. Mentafsir nas-nas agama

Mentafsir al-Quran dan al-Hadis mengikut logik akal dan tidak merujuk kepada kitab-kitab muktabar.


Setelah dilihat dan dibahaskan dengan penuh penelitian, maka Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor telah membuat keputusan seperti berikut:


Alhamdulillah fatwanya;


“Ajaran ilmu Ma’rifat (mengenal Allah/diri) yang dibawa oleh Haji Shaari Bin Mohd Yusof adalah SESAT lagi menyesatkan dan menyeleweng dari ajaran Islam yang sebenar berlandaskan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Oleh yang demikian, semua umat Islam dilarang melibatkan diri dengan ajaran ilmu Ma’rifat(mengenal Allah/diri) oleh Mohd Yusof Che’ Wok yang disebarkan oleh Haji Shaari Bin Mohd Yusof secara langsung atau tidak langsung sama ada:


  1. Mengamal
  2. Menjadi ahli
  3. Mencetak
  4. Menulis
  5. Menyiar
  6. Menerbit
  7. Menyebar
  8. Merakam
  9. Menggunakan lambang-lambang
  10. Membuat lawatan atau kunjungan
  11. Mengundang atau menerima kunjungan ahli-ahlinya
  12. Memberikan sokongan moral atau material atau kedua-duanya sekali kepada sesiapa yang terlibat dengan kumpulan ini atau apa-apa cara jua yang dikaitkan dengan kumpulan atau ajaran ini.


والله اعلم بالصواب

Klik disini untuk mencetak