Laporan Kajian Buku-Buku Mohd. Hairi Nonchi
Muzakarah Majlis Fatwa Negeri Sabah Bil. 2/2016 telah bersidang pada 24-26 Mei 2016M/17-19 Syaaban 1437H, bertempat di Mount Kinabalu Heritage Resort & Spa, Kundasang, Sabah bagi membincangkan mengenai perkara “Laporan Kajian Buku-Buku Mohd. Hairi Nonchi” dan telah bersetuju memutuskan untuk diwartakan di Negeri Sabah bahawa:
1. Muzakarah telah membincangkan Laporan Kajian Buku-Buku Mohd. Hairi Nonchi seperti berikut:-
(i) Aina Allah? Di mana Allah? (Edisi Asal)
(ii) Salahkah Aku Menetapkan Sifat Allah Tanpa Tashbih
(iii) Orang Kata Wahabi Ialah
(iv) Marilah Berzikir Selepas Solat Fardhu Bersama Rasulullah
(v) Syirik Dosa Pembatal Akidah & Amalan
(vi) Ibn Taimiyyah: Pencetus Akidah Tasybih & Tajsim?
(vii) Siapakah Pengikut Imam a-Syafi’e Dan Mazhab Syafie Yang Sebenar?
(viii) Menyingkap 61 Fakta Mengenai Wahabi
(ix) Katakan Tidak Pada Wahabi
(x) Mendulang Cinta Ilahi Dengan Ittiba’ al-Rasul
(xi) Amal Soleh: Cukupkah Sekadar Niat?
2. Buku-Buku Mohd. Hairi Nonchi yang tersebut di atas adalah mengandungi ajaran-ajaran dan fahaman-fahaman yang bertentangan dengan akidah ahli Sunnah Wal Jamaah serta mengelirukan masyarakat Islam. Oleh itu buku-buku berkenaan adalah diharamkan.
3. Bahawa pengharaman ini meliputi apa-apa terbitan sama ada cetak, ditaip, ditulis tangan atau dikeluarkan dengan apa-apa cara lain dan apa-apa bentuk keluaran ulangannya dan termasuklah apa-apa filem seperti wayang gambar, pita rakaman, cakera padat, cakera laser atau sebuah rekod walau bagaimanapun ia dibuat, dari suatu imej berdasarkan penglihatan, yang mana adalah sebuah rekod yang mampu digunakan sebagai suatu alat yang menayangkan isi kandungan buku-buku tersebut di atas untuk dibaca, dilihat dan didengar.
4. Orang-orang Islam adalah dilarang memiliki, menyimpan, mencetak, menjual termasuk mengedarkan untuk dijual apa-apa terbitan berkenaan isi kandung buku tersebut di atas. Mana-mana orang Islam sama ada secara individu atau berkumpulan yang terlibat dengan perkara di atas adalah melakukan suatu kesalahan dan boleh diambil tindakan di bawah Enakmen Kesalahan jenayah Syariah Negeri Sabah 1995 atau mana-mana undang-undang lain yang berkuat kuasa di Negeri Sabah.