JAKIM OFFICIAL WEBSITE
Responsive image
Tajuk
:

Membuat Tatoo, Mencukur Bulu Kening, Menyambung Rambut, Mewarna Rambut Dan Mewarnakan Kuku



Kategori: Sosial/Syariah
Tahun: 2010
Status Pewartaan: Tidak Diwartakan
Negeri: Kedah
Keputusan
:

Jabatan Mufti Negeri Kedah telah meneliti permohonan Jabatan Pendidikan Negeri Kedah mengenai pengesahan bahan penerbitan berkaitan Hukum Membuat Tatoo, Mencukur Bulu Kening, Menyambung Rambut, Mewarna Rambut Dan Mewarnakan Kuku dan bersetuju dengan kandungan bahan penerbitan tersebut seperti berikut;


1.  Latar belakang


-           Menghias diri adalah naluri semula jadi manusia. Setiap individu inginkan dirinya kelihatan cantik dan menarik. Allah S.W.T sendiri cantik dan indah serta amat sukakan kepada kecantikan dan keindahan. Rasulullah SAW menggambarkan keindahan agama yang dibawanya dapat difahami daripada sebuah hadis Rasulullah; “"إن الله جميل يحب الجمال (Sesungguhnya Allah itu cantik dan Allah sukakan kecantikan.” [1]


-           Dalam keghairahan untuk kelihatan cantik dan menarik, ramai masyarakat terkeliru sehingga mereka mengenepikan soal halal dan haram. Satu garis panduan yang lengkap perlu di susun agar menjadi rujukan dan sandaran masyarakat khususnya dalam soal menghias diri dan perkara yang berkaitan dengannya.


2.   Faktor / Punca Isu


-           Isu ini timbul apabila berlaku percanggahan dan perbezaan pendapat serta pandangan tanpa merujuk kepada sumber hukum yang soheh dalam soal menghias diri. Perbezaan dan Percanggahan ini juga timbul berpunca daripada beberapa faktor, antaranya kurang jelas dengan sumber perundangan Islam sehingga tidak dapat membezakan antara hukum wajib, haram, makruh, sunat dan mubah.


-            Sikap suka meniru turut menjadi faktor utama kepada timbulnya keinginan menghias diri yang berlawanan dan bercanggah dengan syariat Islam seperti tattoo, memakai inai, mewarna rambut, menyambung rambut dan mewarna kuku dengan cutex.


3.  Huraian Persoalan-Persoalan Semasa Berkaitan Isu


- Perbuatan menghias diri yang bercanggah dengan syariat Islam dan budaya Melayu serta menjadi pendorong kepada berlakunya maksiat dalam kalangan masyarakat mestilah dibanteras. Sabda Rasulullah:


عن عمر t قال: قال رسول الله r مَنْ تَشَّبَهُ بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُمْ


Maksudnya: “Daripada Ibnu Umar berkata, telah bersabda Rasulullah; Barang siapa menyerupai sesuatu kaum maka ia termasuk dalam golongan mereka.[2]


3.2 Suatu penjelasan kepada masyarakat berhubung isu ini perlu diketengahkan untuk menunjukkan bahawa syariat Islam sesuai untuk dihayati di setiap tempat dan masa.


3.3 Penjelasan ini perlu untuk mengembalikan semula jati diri masyarakat terutamanya golongan remaja kepada akhlak mulia dan cara hidup yang bersopan.


4.  Pandangan Islam Terhadap Isu Berdasarkan Nas al-Quran dan Hadis


4.1 Membuat Tatoo


-           Tatoo ialah membuat tanda atau lukisan pada mana-mana anggota tubuh secara kekal seperti muka, lengan dan belakang. Ia dibuat dengan menggunakan warna-warna tertentu dengan menusuk jarum pada anggota badan. Perbuatan ini adalah haram dan dilaknat oleh Allah I berdasarkan hadis:


عن عبد الله ابن مسعود قال: قال رسول الله r لَعَنَ اللهُ الْوَاشِمَاتِ وَالْمُسْتَوْشِمَاتِ وَالْمُتَنَمِّصَاتِ وَالْمُتُفَلِّجَاتِ لِلْحُسْنِ الْمُخَيِّرَاتِ خَلْقِ الله (متفق عليه)


Maksudnya : Daripada Abdullah Ibnu Mas’ud, telah bersabda Rasulullah, Allah melaknat tukang tatoo dan orang yang meminta dibuat tatoo dan orang yang mencukur bulu kening dan orang yang mengasah gigi untuk kecantikan yang (semua itu) mengubah ciptaan Allah I.[3]


Keputusan Fatwa Negeri Johor Darul Takzim turut menyatakan bahawa haram bertatoo atau meletakkan tatoo di mana-mana anggota tubuh badan.[4]


Sebab Pengharaman Tatoo


i.  Boleh menghalang air sampai ke kulit ketika mengangkat hadas kecil dan besar.

ii. Boleh menyebabkan alahan pada kulit sehingga menyebabkan kegatalan, jangkitan penyakit Hepatitis B dan sebagainya.

iii. Menyerupai amalan bukan Islam.

iv. Mengubah ciptaan Allah.

v. Membazirkan wang.

v. Menimbulkan fitnah kerana memakai tatoo dikaitkan dengan orang yang tidak baik.


4.2 Mencukur Atau Mencabut Bulu Kening


Amalan mencukur bulu kening atau menghilangkannya dengan apa cara sekalipun adalah haram termasuk dalam perkara yang dilaknat oleh Allah I seperti dalam hadis sebelum ini. Sabda Rasulullah SAW :


عن عبد الله ابن مسعودt  قال : قال رسول الله r لَعَنَ اللهُ الْوَاشِمَاتِ وَالْمُسْتَوْشِمَاتِ وَالْمُتَنَمِّصَاتِ وَالْمُتُفَلِّجَاتِ لِلْحُسْنِ الْمُخَيِّرَاتِ خَلْقِ الله (متفق عليه)


Maksudnya : Daripada Abdullah Ibnu Mas’ud, telah bersabda Rasulullah, Allah melaknati tukang tatoo dan orang yang meminta dibuat tatoo dan orang yang mencukur bulu kening dan orang yang mengasah gigi[5] untuk kecantikan yang (semua itu) mengubah ciptaan Allah.[6]


4.3 Menyambung Rambut (Memakai Rambut Palsu)


-               Menyambung rambut atau memakai rambut palsu oleh kaum wanita semata-mata untuk berhias diri dengan menggunakan rambut atau sesuatu yang menyerupai rambut di kepala adalah diharamkan oleh Allah I samada wanita itu sendiri yang melakukannya atau dilakukan oleh orang lain seperti juru andam dan juru solek. Perbuatan ini haram kerana ia mengandungi unsur-unsur penipuan dan mengubah ciptaan Allah I.[7]


-      Termasuk dalam larangan menyambung rambut ialah perbuatan menanam rambut di kepala, memakai rambut palsu dan termasuk cara-cara lain yang dilakukan pada masa sekarang.


-      Dalam hal menyambung rambut ini, para Ulama’ Mazhab Syafie telah menghuraikannya dengan lebih jelas:


i.  Tiada perbezaan pendapat ulama mengenai hukum haram menyambung rambut dengan rambut manusia sama ada rambut lelaki atau perempuan ataupun rambut suami atau mahram. Ini kerana menggunakan atau memanfaatkan rambut manusia adalah haram disebabkan kemuliannya.


ii. Jika rambut itu bukan berasal daripada manusia dan ianya najis seperti bulu daripada bangkai binatang atau bulu binatang yang tidak boleh dimakan adalah haram disambung dengannya.


iii. Jika perempuan yang tidak bersuami menyambung rambut daripada bahan yang suci sekalipun maka hukumnya adalah haram, melainkan bagi perempuan yang bersuami dan diizinkan oleh suaminya.[8]


4.4 Mewarnakan Rambut


-      Mewarna rambut ialah mengubah warna rambut dengan menggunakan bahan-bahan yang tertentu. Perbuatan mewarna rambut pada asalnya diharuskan dalam Islam. Antara bahan yang diharuskan ialah inai dan katam. Bahan-bahan yang digunakan mestilah suci dan halal serta tidak menghalang air dari sampai ke rambut apabila mengangkat hadas kecil atau hadas besar.


-      Berdasarkan sirah Rasulullah baginda pernah menggunakan inai dan katam bagi mewarnakan rambut baginda. Antara warna yang digunakan ialah perang atau merah. Ini berdasarkan kepada dalil-dalil berikut :


i.  Anas menerangkan bahawa:


رَأَيْتُ شَعْرَ رسول الله r مَخْضُوبًا


Maksudnya: Aku telah melihat rambut Rasulullah dicelupi warna perang (inai).[9]


ii. Pada satu ketika Abu Himsah bersama anaknya menemui Rasulullah dan beliau berkata “Pada masa tersebut aku mendapati setengah daripada rambut Rasulullah berwarna perang”.


iii. Hadis riwayat yang bersumber dari Usman bin Mauhab dinukilkan sperti berikut :


سُئِلَ أَبوُ هُرَيْرُةَ هَلْ خَضَبَ رَسُولُ r قَالَ : نَعَمْ.


Maksudnya; “Abu Hurairah telah ditanya : Apakah Rasulullah pernah menyemir (meminyakkan) rambutnya ? Beliau menjawab : “ Ya, pernah”.[10]


4.4.1  Pendapat Ulama Tentang Mewarna Rambut Dengan Warna Hitam


i.  Para fuqaha telah sepakat mencela perbuatan mewarnai rambut atau janggut dengan warna hitam. Pendapat yang sahih mengatakan ianya haram melainkan ke atas orang-orang yang berjihad.[11]

Dalil haram merwarnai rambut atau janggut dengan warna hitam itu adalah berdasarkan riwayat daripada Jabir t katanya yang bermaksud:


“Pada hari penaklukan Makkah dibawa Abu Qafahah ke hadapan Rasulullah dengan rambut dan janggutnya memutih seperti tsaqamah (sejenis tumbuhan yang bunga dan buahnya berwarna putih). Maka baginda bersabda “Tukarlah ini dengan sesuatu, tetapi jauhilah warna hitam”.


ii. Ulama berpendapat bahawa mewarnakan rambut menggunakan warna hitam adalah haram. Ini adalah bertujuan untuk mengelakkan penipuan. Walau bagaimanapun untuk tujuan peperangan ianya dibolehkan. Pandangan ini berdasarkan pendapat ulama Syafie.


iii. Hukum mewarna rambut selain hitam adalah harus namun keharusan ini mestilah bertujuan untuk menghidupkan sunnah Rasulullah dan bukan untuk menunjuk-nunjuk atau menarik perhatian orang lain atau untuk mengubah ciptaan Allah.


iv. Untuk menghidupkan sunnah Rasulullah maka kita juga perlu mengambil kira bahan-bahan yang digunakan sebagai bahan pewarna tersebut. Ini kerana banyak bahan-bahan yang digunakan sekarang bukan sahaja mengandungi bahan-bahan yang meragukan malah turut menghalang air dari sampai ke anggota badan dan ini sudah tentunya menyebabkan ibadah harian kita tidak terlaksana sebagaimana yang ditetapkan oleh syarak.


    4.4.2  Sebab-Sebab Mewarna Rambut Menjadi Haram


i.    Mewarnakan rambut adalah bertujuan untuk menunjuk-nunjuk dan riyak serta dilakukan untuk menarik perhatian orang lain yang akhirnya akan menjuruskan kepada gejala maksiat.[1


ii.    Bahan-bahan yang digunakan untuk mewarnakan rambut itu mengandungi unsur-unsur yang haram dan syubhah.


iii.    Bahan yang digunakan menghalang air daripada sampai ke kulit ketika bersuci daripada hadas kecil dan besar serta membawa kepada tidak sah ibadat.


iv.    Mewarnakan rambut lebih cenderung kepada pendedahan aurat.


4.5 Mewarna Kuku


Mewarnakan kuku ialah mewarnakan kuku dengan sebarang pewarna supaya kelihatan cantik dan menarik.


4.5.1  Hukum Mewarna Kuku


i.  Haram sekiranya menggunakan bahan najis atau menghalang air sampai ke kulit ketika mengangkat hadas.


ii. Harus sekiranya dalam keadaan berikut :


-       Bahan tidak bernajis

-       Tidak menghalang air ketika mengangkat hadas

-       Tidak bertujuan riyak

-       Tidak menarik perhatian orang lain

-     Dari sudut lain pula amalan mewarnakan kuku ini juga adalah bercanggah dengan adab dan budaya timur yang mementingkan kesopanan dan kebersihan.


5. Penutup


-           Berhias diri merupakan fitrah semulajadi manusia namun ianya perlu diamalkan secara betul mengikut apa yang digariskan oleh syariat Islam supaya ianya menjadi ibadah dan mendapat ganjaran pahala daripada Allah I.


-           Satu pendedahan terhadap etika menghias diri menurut Islam perlu dibuat di setiap peringkat meliputi sekolah rendah, sekolah menengah dan institusi pengajian tinggi perlu dilaksanakan dari masa ke semasa.


-           Pihak berkuasa perlu memastikan bahan kosmetik yang terdapat di pasaran adalah suci dan halal serta tidak merosakkan ibadah.


-           Pihak berkuasa perlu mengadakan kempen-kempen menghias diri menurut Islam melalui media cetak, elektronik dan lain-lain.


-           Oleh itu, perlulah diambil peringatan bahawa perbuatan bertatoo, mewarnakan rambut, mencukur bulu kening, memakai rambut palsu bukan sahaja dilarang oleh syarak bahkan ia juga dilaknat oleh Allah dan Rasul-Nya.


-           Seseorang yang dilaknat akan berada jauh daripada rahmat, taufiq, petunjuk serta dijauhkan daripada segala kebaikan. Sesungguhnya tiada yang lebih bermakna kepada seseorang hamba melainkan nikmat Allah disyukuri, ibadah dihalusi dan kehidupan diberkati.


[1]   Hadis riwayat Muslim Muslim, Ibn Majah dan Ahmad Ibn Hanbal g.

[2]  Hadis riwayat Abu Daud t.

[3]  Hadis riwayat Muttafaqun ‘Alaih.

[4] Fatwa Negeri Johor Darul Takzim, Jabatan Mufti Negeri Johor bertarikh 19 Jamadil Awal 1423

  bersamaan30 Julai 2002.

[5] Mengasah gigi dengan tujuan menambahkan kecantikan, bukan bertujuan untuk kesihatan / 

  perubatan.

[6] Opcit.

[7]  al-Majmu’; Kitab al-Taharah bab al-Siwak : 1/364.

[8]  HR Sahih Muslim Bisyarh al-Nawawi : 7/359-360.

[9]  Syamail Muhammadiyyah Jld. 12, hlm 54.

[10] Hadis Riwayat Muslim.

[11]  al-Majmu’ Kitab al-Taharah bab al-Siwak : 1/360-361.

[12] Umar bin Sulaim al-Askor, Hukmu Sobghi as-Sya’ri hlmn

Klik disini untuk mencetak