Aliran Dan Dakyah Wahabiah
Muzakarah Majlis Fatwa Negeri Sabah Bil. 3/2016 telah bersidang pada 10-11 Ogos 2016M/7-8 Zulkaedah 1437H, bertempat di Bilik Seri Beringgis, TH Hotel & Residence, Kota Kinabalu, Sabah bagi membincangkan mengenai perkara “Aliran Dan Dakyah Wahabiah” dan telah bersetuju memutuskan untuk diwartakan di Negeri Sabah bahawa:
Aliran dan Dakyah Wahabiah didapati bercanggah dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah yang menjadi teras pegangan masyarakat Islam di Negeri Sabah. Percanggahan tersebut berdasarkan kepercayaan, perbuatan dan pengamalan aliran Wahabiah seperti berikut:
(a) Menolak dan menyesatkan pengamal pendekatan Tauhid Sifat 20;
(b) Menganggap syirik amalan-amalan ahli sunnah seperti perbuatan tawassul, tabarruk dan istighathah dan selawat-selawat yang mengandungi pujian kepada Rasulullah SAW seperti Selawat Syifa dan Selawat Tafrijiyyah;
(c) Mendakwa bahawa pengikut aliran Asya’irah dan Maturidiyah tidak termasuk dalam golongan Ahli Sunnah Wal Jamaah;
(d) Membid’ahkan pelbagai amalan ahli sunnah yang bersifat khilafiyah sebagai melakukan bid’ah dalalah dan pengamalnya akan menjadi penghuni neraka;
(e) Menganggap amalan dan sambutan-sambutan yang dilakukan bertujuan memuliakan Rasulullah SAW sebagai perbuatan syirik;
(f) Menolak sepenuhnya beramal dengan hadis daif;
(g) Memahami al-Quran dan al-Sunnah secara makna zahir semata-mata dan menolak pentakwilan dalam memahami teks al-Quran;
(h) Menolak fahaman bermazhab;
(i) Menolak kefahaman dan amalan tarikat tasawuf yang muktabar;
(j) Mempertikaikan ulama Nusantara yang muktabar serta kitab-kitab karya mereka;
(k) Mempertikaikan fatwa-fatwa atau keputusan pihak berkuasa agama;
(l) Berpegang dengan fahaman tashbih dan tajsim berdasarkan zahir ayat dan hadis
yang mutashabihat; dan
(m) Mudah mengkafirkan, membid’ahkan dan memfasikkan golongan yang tidak sealiran dengan mereka;
Oleh yang demikian, Majlis Fatwa Negeri Sabah mengambil keputusan bahawa;
(i) Mana-mana orang Islam, sama ada secara individu atau berkumpulan yang menjadi penyebar aliran dan dakyah Wahabiah adalah disifatkan berfahaman Wahabiah yang bercanggah dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah aliran Asya’irah dan Maturidiyah;
(ii) Mana-mana orang Islam, sama ada secara individu atau berkumpulan melalui pertubuhan atau persatuan yang menjadi ahli jamaah atau pengikut aliran dan dakyah Wahabiah dengan berselindung di sebalik apa-apa nama, aktiviti ekonomi, perniagaan, pendidikan, kesenian dan sebagainya yang mempunyai unsur-unsur persamaan dengan aliran dan dakyah Wahabiah, adalah disifatkan mengamalkan ajaran, pegangan dan fahaman yang bercanggah dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah aliran Asya’irah dan Maturidiyah;
(iii) Mana-mana orang Islam secara individu atau berkumpulan melalui pertubuhan atau persatuan yang cuba menyebarkan aliran dan dakyah Wahabiah, sama ada melalui apa-apa rangkaian, atau mana-mana pertubuhan atau persatuan yang mempunyai unsur-unsur persamaan dengan aliran dan dakyah Wahabiah adalah disifatkan mengamalkan ajaran, pegangan dan fahaman yang bercanggah dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah aliran Asya’irah dan Maturidiyah;
(iv) Apa-apa variasi, versi, bentuk atau cabang mana-mana aliran dan dakyah Wahabiah atau apa-apa ajaran, pegangan atau fahaman baru yang mempunyai persamaan dengan unsur-unsur aliran dan dakyah Wahabiah adalah bercanggah dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah aliran Asya’irah dan Maturidiyah; atau
(v) Apa-apa jua bahan publisiti dan sebaran yang menojolkan tokoh, aliran dan dakyah Wahabiah atau apa-apa ajaran, pegangan atau fahaman baru yang mempunyai persamaan dengan unsur-unsur aliran dan dakyah Wahabiah dalam apa jua bentuk penerbitan dan cetakan adalah dilarang;
(vi) Mana-mana orang Islam sama ada secara individu atau berkumpulan yang terlibat dengan perkara di atas adalah melakukan suatu kesalahan dan boleh diambil tindakan di bawah Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Sabah 1995 atau mana-mana undang-undang lain yang berkuat kuasa di Negeri Sabah.
Tarikh Warta: 7 September 2017.