JAKIM OFFICIAL WEBSITE
Responsive image
Tajuk
:

Isu Perkahwinan Kanak-Kanak: Kajian Dari Aspek Agama, Kesihatan Dan Psikologi


Kategori: Munakahat
Tahun: 2015
Status Pewartaan: Tidak Diwartakan
Negeri: Johor
Keputusan
:

Berdasarkan hasil penyelidikan oleh kumpulan penyelidik daripada Universiti Teknologi Malaysia, ahli mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor yang bersidang pada 15 Rabiul Awal 1436 bersamaan 6 Januari 2015 telah membuat keputusan seperti berikut:


i  Isu berkaitan perkahwinan kanak-kanak bukan suatu isu yang baru di Malaysia dan ianya dilihat

sebagai satu amalan yang sihat pada masa ini. Perkahwinan baginda Rasulullah ﷺ dengan Saidatina

‘Aisyah tidak wajar dijadikan alasan untuk memudahkan perkahwinan kanak-kanak.


ii Walaupun terdapat peruntukan undang-undang yang membenarkan perkahwinan kanak-kanak di

Negara ini, tetapi ia tidak bermakna perkahwinan ini boleh dilakukan dengan mudah tanpa melihat

kepada kemaslahatan kanak-kanak yang ingin dikahwinkan.


iii Kajian mendapati statistik permohonan dan perkahwinan kanak-kanak di Negara ini semakin

meningkat dan akibat daripada perkahwinan ini lebih banyak mendatangkan keburukan daripada

kebaikan terutama dari aspek kesihatan dan psikologi kanak-kanak terbabit.


iv Kebanyakan perkahwinan kanak-kanak ini berlaku didorong oleh rasa cinta kepada pasangan yang

tidak mampu dikawal sehingga mendorong berlakunya penzinaan serta kehamilan luar nikah.


v Dapatan kajian menunjukkan bahawa faktor perkahwinan kanak-kanak di Malaysia berlaku bukan

kerana maslahah tetapi disebabkan keterlanjuran dan keinginan menutup aib atau maruah keluarga

yang tercemar.


vi Keterangan pakar-pakar kesihatan dan psikologi menegaskan wujudnya masalah kesihatan fizikal

dan mental yang dialami pada pasangan perempuan akibat perkahwinan kanak-kanak.


vii Para Ulama’ bersetuju bahawa secara syarie’ perkahwinan kanak-kanak bukanlah perkara yang

wajib atau sunat. Tiada hadis yang menyatakan bahawa perkahwinan kanak-kanak itu dianjurkan.

Perkahwinan pada zaman Rasulullah ﷺ yang dilakukan oleh para sahabat lebih kepada menjaga

kemaslahatan kanak-kanak. Ia termasuk dalam perkara harus tetapi hukumnya tertakluk kepada

ketentuan maqasid syari’ah dan kaedah fiqhiyah iaitu menjauhi kerosakan) ( دفع المفسدة) serta

mengambil kemaslahatan ( جلب المصالح ) .


Setelah dilihat dan dibahaskan dengan penuh penelitian berasaskan nas-nas syara’ dan kaedah-

kaedah fiqhiyah serta keterangan pakar-pakar kesihatan dan psikologi, maka Jawatankuasa Fatwa

Negeri Johor membuat keputusan seperti berikut:


“Perkahwinan kanak-kanak bukan merupakan perkara yang wajib atau sunat. Oleh itu, perkahwinan

kanak-kanak hanya boleh dibenarkan dengan syarat ia dilakukan semata-mata untuk memenuhi

kemaslahatan kanak-kanak tersebut secara syarie”.


 والله اعلم بالصواب

 


 

Klik disini untuk mencetak