Hukum Minum Ucap Selamat (Drinking A Toast) Dalam Majlis Makan Beradab Angkatan Tentera Malaysia
Setelah dilihat dan dibahaskan dengan penuh penelitian, maka Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor yang bersidang pada 15 Rabiul Awal 1436 bersamaan 6 Januari 2015 telah membuat keputusan seperti berikut:
“Hukum minum ucap selamat (Drinking a Toast) seperti yang dilakukan dalam majlis makan beradab Angkatan Tentera Malaysia (ATM) adalah dilarang oleh syara’ kerana acara ini sememangnya tiada keselarian dengan ajaran Islam.
Cara mengucapkan selamat dan kesejahteraan yang terbaik menurut pandangan Islam adalah mendoakan seseorang dengan menyebut nama mereka tanpa diikuti perbuatan atau ritual yang mengikuti tradisi agama atau budaya lain khususnya yang berasal daripada adat yang haram”.
Keputusan di atas adalah berdasarkan kepada hujah-hujah berikut:
i. Bercanggah dengan aqidah
Menurut tradisi Yunani, terdapat acara mengajukan minuman kepada tiga tuhan mereka iaitu Mercury, Graces dan Zeus. Menurut “The International Handbook On Alcohol And Culture” mengatakan bahawa “toasting” adalah cerminan kepada tradisi Greek kuno iaitu meminum dan menuang air bersempena acara korban yang di dalamnya air suci dijamu kepada tuhan-tuhan mereka disamping darah dan arak sebagai pertukaran kepada permintaan dan kata-kata yang diucapkan sebagai doa untuk keselamatan dan kesihatan. Kepercayaan dan amalan ini jelas mengandungi syirik kepada Allah dan semua perkara atau amalan yang mengandungi ciri-ciri syirik adalah wajib ditinggalkan berdasarkan firman Allah dalam surah Luqman ayat 13:
ii. Wujudnya tashbih (perbuatan menyerupai) amalan orang kafir
Walaupun majlis minum ucap selamat yang diadakan sekarang tidak menggunakan arak sebagai minuman, namun dari segi hukum ia tetap merupakan satu perbuatan yang ditegah kerana ia menuruti adat kebiasaan orang kafir dalam melakukan perkara yang diharamkan oleh syariat iaitu meminum arak. Ia termasuk dalam kategori perbuatan menyerupai (tashbih) yang diharamkan oleh Islam. Jika dilihat dari keseluruhan amalan minum ucap selamat selain dari tidak menggunakan arak, keseluruhan amalan tersebut benar-benar menyerupai amalan perbuatan “Drinking aToast” yang dilakukan oleh orang barat.
Perbuatan menyerupai amalan haram yang dilakukan oleh orang kafir adalah ditegah oleh Islam berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud daripada Ibn Umar bahawa Rasulullah bersabda:
(من تشبه بقوم فهو منهم ( رواه ابو داود
Ertinya: “Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka ia adalah sebahagian daripada mereka”
Walaupun hadis ini bersifat umum, namun makna atau implikasi hukumnya dikhususkan berdasarkan hadis-hadis lain yang mengandungi larangan nabi terhadap penyerupaan perkara khusus seperti amalan agama dan juga perayaan yang dilakukan oleh orang kafir yang menjadi sebahagian dari identiti penting (syiar) mereka. Ini termasuklah pakaian yang digunakan dalam amalan keagamaan orang kafir. Misalnya dalam hadis daripada Abdullah bin Amru bin al-As yang mengatakan: Nabi melihatku ketika aku mengenakan dua helai pakaian celupan, lalu baginda bersabda, “Sesungguhnya pakaian ini adalah pakaian orang kafir, maka janganlah kamu memakainya.
iii. Sebahagian pandangan Ulama’ berkaitan minum ucap selamat
Menurut al-Iraqi, sekiranya seseorang meminum segelas air akan tetapi diminum mengikut cara perkara yang haram seperti meminum didalam gelas (yang biasanya) diletak arak dan didalam majlis seperti majlis minum arak, maka ia menjadi haram disebabkan peniruannya (tashbih) dengan meminum arak.
Imam an-Nawawi dalam kitabnya Raudhatul Tholibin mengatakan perbuatan mengangkat atau memusing ( ادارة كأس الماْء) ketika minum menyerupai cara peminum arak meminumnya termasuk dalam perkara yang wajib dikenakan hokum ta’zir.
Menurut al-Bahuti, haram meniru perbuatan minum arak ( seperti majlis keramaian yang melibatkan perbuatan mengangkat gelas sambil menyebut atau melaungkan perkataan-perkataan tertentu). Pelakunya perlu dihukum (ta’zir) walaupun air yang diminum adalah air yang tidak haram ( مباح ).
والله اعلم بالصواب