Hukum Bertabarruk
1. Kenyataan media ini adalah maklumbalas terhadap program Lantunan Mahabbah Rasulullah Ramadhan Bersama Athar Rasulullah pada 24 Jun 2016 bertempat di Menara MBAS (Tingkat 7) anjuran Majlis Bandaraya Alor Setar, Ibnu Sina Institutes, Yayasan Restu serta Mahabbatur Rasul. Program ini telah menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat mengenai tindakan pihak berkenaan dalam mengambil tabarruk terhadap athar Rasulullah r.
2. Perlu ditegaskan bahawa Jabatan Mufti Negeri Kedah tidak pernah mengeluarkan sebarang persetujuan atau sokongan rasmi terhadap program ini. Oleh itu, tidak wajar jabatan ini dikaitkan dengan penganjuran program tersebut.
3. Adapun mengambil keberkatan daripada athar (bekas / tempat / barang peninggalan) Nabi Muhammad SAW adalah harus[1]. Ini kerana perbuatan tersebut tidak bertentangan dengan aqidah Ahlus Sunnah wal Jamaah yang menerima tabarruk dengan athar Rasulullah r sebagai wasilah untuk mendapat kebaikan daripada perbuatan tersebut.
4. Walau bagaimanapun, sebagai umat Islam kita tidak digalakkan bertabarruk secara berlebih-lebihan seperti mencium, menjunjung replika athar Rasulullah r dengan gaya yang melampau dibimbangi dan dikhuatiri boleh membawa kepada khurafat atau syirik. Cukup hanya sekadar mengambil berkat dengan berdoa serta salawat kepada Rasulullah SAW .
5. Ini berdasarkan firman Allah I dalam Surah al-Maidah ayat 77 yang bermaksud; “Janganlah kamu melampaui batas dalam agama kamu secara yang tidak benar dan janganlah kamu menurut hawa nafsu suatu kaum yang telah sesat sebelum ini (sebelum kedatangan Nabi Muhammad r) dan telah menyesatkan banyak manusia serta mereka juga telah sesat (jauh) daripada jalan yang benar”.
6. Dalam hal ini, Jabatan Mufti Negeri Kedah berpendapat bahawa boleh mengambil berkat dengan athar Rasulullah SAW namun kaedah serta caranya itu perlulah bersederhana[2]. Sekiranya perlakuan mengambil berkat itu dilakukan secara berlebih-lebihan atau melampau dibimbangi boleh mengundang tohmah dan fitnah dalam kalangan masyarakat Islam itu sendiri. Ini berdasarkan kepada kaedah fiqhiyyah iaitu:
درء المفاسد مقدم على جلب المصالح
Maksudnya: Mencegah perkara-perkara yang keji adalah lebih utama daripada mengajak kepada kebajikan.
سد الذرائع
Maksudnya: Perlunya menutup pintu-pintu yang boleh membawa kemudharatan.
7. Oleh itu, athar Nabi Muhammad SAW yang mendapat keberkatan itu adalah yang asli melalui sanad yang saheh sahaja, bukan replika atau seumpamanya. Jika diakui athar itu adalah yang sebenarnya melalui sandaran yang kukuh maka mudah-mudahan mendapat keberkatan namun jika sebaliknya perbuatan tersebut hanya sia-sia sahaja.
Wallahu A’alam.
[1]الجزء الثامن عشر، ص 79. إمام العلامة بدر الدين محمد محمود بن أحمد العيني، عمدة القاري شرح صحيح البخاري ،
[2]إمام الحافظ أحمد بن علي بن حجر العسقلاني، فتح الباري شرح صحيح البخاري، المجلد العاشر، ص 353.