Isu Pertandingan Memancing Di Kolam Memancing
Keputusan:
Jawatankuasa Fatwa Negeri Kedah berpendapat bahawa hukumnya adalah harus sekiranya pengusaha kolam ikan atau penganjur pertandingan yang mengenakan yuran dengan kadar tertentu kepada peserta pertandingan memancing. Kutipan wang tersebut digunakan untuk memberi hadiah kepada peserta yang memenangi pertandingan memancing termasuk juga untuk tujuan pengurusan kolam. Oleh itu, kutipan yuran pertandingan adalah milik pengusaha kolam atau penganjurnya.
Ini berdasarkan kepada;
أن يكون العوض من السلطان أو أحد الرءساء او شخص ثالث، يأخذه السابق، وهذا جائز اتفاقا.
Maksudnya:
Ganjaran atau hadiah hendaklah datang daripada raja atau salah seorang pemimpin atau orang (pihak) ketiga, pemenang berhak menerima hadiah tersebut. Ulama' sepakat mengharuskan cara ini.
(Rujuk: Al Fiqh Al Islamiy Wa Adillatuhu, Duktur Wahbah Az Zuhailiy, Juzu' 5, ms 790)
Tetapi sekiranya kutipan tersebut dibuat sesama peserta memancing dan menentukan sesiapa yang menang mendapat hadiah dan yang kalah tidak mendapat apa-apa dan wang penyertaan dikira hilang (hangus) maka ini adalah tidak harus dan haram kerana ia termasuk dibawah القمار (judi).