JAKIM OFFICIAL WEBSITE
Responsive image
Tajuk
:

Hukum Minyak Ikan Diproses Tanpa Dibuang Perut Dan Najisnya


Kategori: Muamalat/Ekonomi
Tahun: 2016
Status Pewartaan: Tidak Diwartakan
Negeri: Johor
Keputusan
:

Setelah dilihat dan dibahaskan dengan penuh teliti, maka Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor yang bersidang pada 6 Jamadil Akhir 1437 bersamaan 15 Mac 2016 telah membuat keputusan seperti berikut:

  1. Minyak capelin diperoleh daripada ikan yang ditangkap khusus untuk dibuat minyak ikan. Ikan-ikan tersebut diproses terus tanpa dibasuh atau dipotong terlebih dahulu. Ini kerana ia diproses dalam jumlah atau kuantiti yang besar melibatkan beribu-ribu tan ikan (satu tan mengandungi 40 000 ekor ikan capelin yang beratnya antara 15-30g.
  2. Ikan capelin yang ditangkap nelayan akan terus dibawa ke tapak kilang untuk disimpan sebelum diproses. Proses dilakukan dengan kaedah mengukus ikan tersebut untuk memecahkan sel-sel untuk menghasilkan minyak. Kemudian sisa ikan tersebut akan diasingkan untuk memisahkan antara pepejal dan cecair. Proses mekanikal kemudian digunakan untuk memisahkan pula antara minyak dan air. Minyak ikan mentah yang siap akan disimpan di dalam tangki simpanan sebelum diedarkan.
  3. Kesemua minyak ikan capelin yang siap diproses ini adalah mematuhi syarat hygiene yang ditetapkan oleh kesatuan eropah (EU) dan selamat untuk kegunaan manusia. Proses yang sama (standard) digunakan oleh pengilang untuk menghasilkan minyak ikan cod, minyak omega 3 dan seumpamanya yang dihasilkan di seluruh dunia.
  4. Jabatan Mufti Brunei dalam majalah Pelita Brunei telah mengulas dan memberi panduan mengenai isu perut ikan dan menyatakan ikan sepertimana haiwan lain juga, memiliki perut dan pada rongga perut itu juga terkandung kotoran dan najis. Menurut ulama’, sesuatu yang keluar (berasal) dari rongga perut haiwan, tidak terkecuali ikan, merupakan najis. Oleh yang demikian, najis ikan juga dihukumkan sebagai najis. Namun, ulama’ telah menjelaskan bahawa adalah halal memakan ikan kecil yang dimasak, seumpama digoreng atau dibakar, bersama dengan isi perutnya, tanpa dibersihkan atau dibuang terlebih dahulu kotoran yang terkandung dalam perutnya. Kandungan kotoran (isi perut) ikan kecil tersebut adalah dimaafkan. Imam Ibn Hajar rahimahullah juga berpendapat bahawa tidak wajib membuang atau membersihkan kandungan kotoran dalam perut ikan kecil kesukaran membersihkan isi perutnya. Adapun, ikan besar yang digoreng atau dibakar, hukumnya adalah haram memakannya bersama dengan isi perutnya kerana najis dalam perut ikan yang besar adalah tidak dimaafkan, disamping tiada kesukaran untuk membersihkan kotoran yang terdapat di dalam perut ikan besar.
  5. Ikan sebagai sumber makanan yang halal bagi umat Islam dan tidak perlu lagi dipersoalkan kerana ia jelas disebut dalam al-Quran dan hadis. Apa yang menjadi perbahasan dikalangan para fuqaha’ ialah adakah keseluruhan ikan tersebut halal dimakan atau terdapat bahagian tertentu seperti kandungan isi perut ikan yang mengandungi najis yang tidak boleh atau haram bagi umat Islam memakannya? 
  6. Para fuqaha’ mazhab dalam hal ini telah berbeza pendapat seperti berikut:

a.      Imam Malik dan Imam Hanbali

Imam Malik berpendapat semua binatang yang boleh dimakan adalah suci najisnya.

b.     Mazhab as-Syafie

Pendapat yang paling sahih dalam mazhab as-Syafie menurut al-Buraihimi menyatakan najis ikan dan belalang juga hukumnya najis. Pengarang al-Ibanah pula berpendapat sebaliknya (suci). Imam Nawawi pula menyatakan bahawa air kencing, darah dan najis ikan dan belalang, najis haiwan yang tidak mempunyai darah mengalir, darah yang ada di dalam hati dan limpa mempunyai dua pandangan (dikalangan fuqaha Syafie), pendapat yang paling sahih ialah kesemuanya dianggap najis.

Ibn hajar, Ziad, ar-Ramli dan lain-lain telah bersepakat bahawa apa-apa yang ada di dalam perut ikan yang kecil sama ada darah atau najis adalah suci dan boleh dimakan serta tidak dianggap najis, bahkan ar-Ramli berpendapat, hukum tersebut juga berlaku kepada ikan besar.


Hujah pendapat yang menguatkan najis ikan adalah bersih berpegang kepada umum ayat dan hadis Nabi ﷺ yang secara jelas menyatakan binatang laut keseluruhannya termasuk ikan adalah halal dimakan walaupun mati. Sementara pendapat yang menyatakan najis ikan adalah kotor pula melihat kepada sifat najis itu sendiri walaupun ia daripada ikan atau belalang tetap dianggap najis kerana Rasulullah ﷺ  apabila dibawa dua biji batu dan najis binatang (yang telah keras) untuk beristinjak maka baginda ﷺ telah mengambil batu dan membuang najis binatang tersebut, seraya berkata “Ini adalah kotoran”.


Pengarang al-Mausuah al-Fiqhiyah ada membangkitkan isu hukum ikan yang diletak garam (ikan pekasam atau jeruk dan seumpamanya), keempat-empat fuqaha’ mazhab kesemuanya menghukum ikan tersebut bersih sekiranya dari jenis ikan yang kecil, najis yang ada di dalam perutnya adalah dimaafkan kerana kesukaran untuk membuangnya. Sekiranya ikan tersebut jenis yang besar maka fuqaha’ Hanafiah, Hanabilah, Ibn Arabi dan ad-Dardir dari fuqaha Malikiah berpendapat ikan tersebut bersih. Manakala fuqaha Syafi’ah dan jumhur Malikiah berpendapat sebaliknya.


Adapun sekiranya ia dihukum bersih, syara’ menetapkan hukum memakannya bergantung pula kepada pandangan pakar perubatan yang dipercayai sama ada ia boleh memudaratkan ataupun tidak. Sekiranya memudaratkan, maka tidak boleh dimakan kerana memberi kesan pada kesihatan, begitulah sebaliknya.


Setelah meneliti fakta-fakta, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan, maka Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor telah membuat keputusan seperti berikut:


“Kandungan isi perut ikan adalah antara hukum yang tidak disebut secara jelas mengenainya sama ada dalam al-Quran ataupun hadis Rasulullah ﷺ . Ibn hajar, Ziad, ar-Ramli dan lain-lain telah bersepakat bahawa apa-apa yang ada di dalam perut ikan yang kecil sama ada darah atau najis adalah suci dan boleh dimakan serta tidak dianggap najis, bahkan ar-Ramli berpendapat, hukum tersebut juga berlaku kepada ikan besar.


Sekiranya ia dihukum bersih, syara’ menetapkan hukum memakannya bergantung pula kepada pandangan pakar perubatan yang dipercayai sama ada ia boleh memudaratkan ataupun tidak. Sekiranya memudaratkan, maka tidak boleh dimakan kerana memberi kesan pada kesihatan, begitulah sebaliknya.


Justeru berdasarkan masyaqqah yang perlu dihadapi untuk memproses ikan dalam kuantiti yang banyak sehingga terlalu sukar untuk dibuang kandungan isi perut ikan tersebut satu persatu, dan realiti semasa industri komersial pemprosesan minyak ikan pada masa ini yang perlu mematuhi standard dan piawaian yang ketat bagi memastikan ianya selamat dan bersih digunakan, serta dengan mengambil kira kepentingan, manfaat dan kegunaan minyak ikan kepada kesihatan manusia, maka minyak ikan yang diproses secara komersial dalam kuantiti yang melibatkan beribu-ribu tan ikan tanpa dibuang perut atau najisnya adalah suci dan halal dimakan”.



والله اعلم بالصواب


Klik disini untuk mencetak