JAKIM OFFICIAL WEBSITE
Responsive image
Tajuk
:

Ajaran Millah Ibrahim


Kategori: Akidah
Tahun: 2015
Status Pewartaan: Diwartakan
Negeri: Johor
Keputusan
:

Setelah dilihat dan dibahaskan dengan penuh penelitian, maka Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor yang bersidang pada 13 Ramadhan 1436 bersamaan 30 Jun 2015 telah membuat keputusan seperti berikut:


1. Fahaman dan ajaran Millah Ibrahim adalah bertentangan dengan ajaran Islam kerana mengandungi elemen-elemen yang meragukan seperti berikut:


i. Membawa ajaran dan kerajaan baharu (Millah Ibrahim)

ii. Mendakwa ada Rasul selepas Nabi

iii. Mensyirikkan golongan yang tidak mengikuti ajaran Millah Ibrahim.

iv. Menggabungkan tiga ajaran agama iaitu Islam, Kristian dan Yahudi.

v. Menyalah ertikan maksud kiamat.

vi. Memahami al-Quran mengikut tafsiran sendiri.

vii. Meninggalkan solat lima waktu dan solat jumaat.

viii. Taksub dan memutuskan hubungan keluarga dan suami isteri.

ix. Perjanjian (bai’ah) oleh anggota Millah Ibrahim.


2.     Mana-mana orang Islam secara individu atau berkumpulan adalah dilarang untuk berpegang kepada ajaran Millah Ibrahim atau menjadi pengikut kepada fahaman atau ajaran tersebut atau apa-apa fahaman atau ajaran yang mempunyai persamaan dengan fahaman atau ajaran tersebut dan sesiapa yang sengaja melakukan adalah disifatkan mengamalkan ajaran, pegangan dan fahaman yang bercangah dengan ajaran Islam yang sebenar.


3.     Mana-mana orang Islam secara individu atau berkumpulan adalah dilarang berada di majlis, perayaan atau sambutan keraian yang boleh dikaitkan dengan fahaman atau ajaran Millah Ibrahim atau mereka berpegang dengan fahaman atau ajaran tersebut atau apa-apa fahaman atau ajaran yang mempunyai persamaan dengannya dan sesiapa yang sengaja melakukannya adalah disifatkan mengamalkan ajaran, pegangan dan fahaman yang bercanggah dengan ajaran Islam yang sebenar.


4.     Mana-mana orang Islam secara individu atau berkumpulan yang mengisytiharkan diri sebagai orang yang berpegang dengan fahaman atau ajaran tersebut atau apa-apa fahaman atau ajaran yang mempunyai persamaan dengannya melalui pengakuan bersumpah atau apa-apa kaedah lain adalah disifatkan mengamalkan ajaran, pegangan dan fahaman yang bercanggah dengan ajaran Islam yang sebenar.


5.     Mana-mana orang Islam secara individu atau berkumpulan yang menjadi ahli atau pengikut kepada mereka yang berpegang dengan fahaman atau ajaran tersebut atau apa-apa fahaman atau ajaran yang mempunyai persamaan dengannya dengan berselindung disebalik apa-apa aktiviti ekonomi, perniagaan, pendidikan, kesenian dan sebagainya melalui pertubuhan, persatuan atau syarikat, yang mempunyai unsur-unsur persamaan dengan ajaran, pegangan dan fahaman mereka yang berpegang fahaman atau ajaran tersebut atau apa-apa fahaman atau ajaran yang mempunyai persamaan dengannya adalah disifatkan mengamalkan ajaran, pegangan dan fahaman yang bercanggah dengan ajaran Islam sebenar.


6.     Mana-mana orang Islam secara individu atau berkumpulan melalui pertubuhan, persatuan atau syarikat yang cuba menghidupkan kembali ajaran dan fahaman mereka yang berpegang dengan fahaman atau ajaran tersebut atau apa-apa fahaman atau ajaran yang mempunyai persamaan dengannya sama ada mempunyai apa-apa rangkaian, atau mana-mana pertubuhan atau persatuan yang mempunyai unsur-unsur persamaan dengan ajaran, pegangan dan fahaman mereka yang berpegang dengan fahaman atau ajaran tersebut adalah disifatkan mengamalkan ajaran, pegangan dan fahaman yang bercanggah dengan ajaran Islam yang sebenar.


7.     Mana-mana orang Islam secara individu atau berkumpulan yang mengajar, menganjur, mengadakan, membantu menjayakan apa-apa perayaan, sambutan keraian atau majlis yang boleh dikaitkan dengan fahaman mereka yang berpegang dengan fahaman atau ajaran tersebut atau apa-apa fahaman atau ajaran yang mempunyai persamaan dengannya adalah disifatkan mengamalkan ajaran, pegangan dan fahaman yang bercanggah dengan ajaran Islam yang sebenar.


8.     Apa-apa variasi, versi, bentuk atau cabang mana-mana ajaran, pegangan atau fahaman baharu yang mempunyai persamaan dengan usnsur-unsur ajaran, pegangan dan fahaman mereka yang berpegang dengan fahaman atau ajaran tersebut atau apa-apa fahaman atau ajaran yang mempunyai persamaan dengannya adalah disifatkan mengamalkan ajaran, pegangan dan fahaman yang bercanggah dengan ajaran Islam yang sebenar.


9.     Atau apa-apa jua bahan publisiti dan siaran yang menonjolkan ajaran, pegangan atau fahaman mereka yang berpegang dengan fahaman atau ajaran tersebut atau apa-apa fahaman atau ajaran yang mempunyai persamaan dengannya atau apa-apa ajaran, pegangan dan fahaman mereka yang berpegang dengan fahaman atau ajaran tersebut dalam apa jua bentuk penerbitan dan cetakan atau siaran dalam mana-mana laman sesawang, blog, facebook, twitter atau media sosial lain-lain adalah diharamkan.


10. Mana-mana orang Islam secara individu atau berkumpulan adalah juga dilarang memiliki, menyimpan, mencetak, menjual atau mengedar filem, rakaman audio, risalah, buku-buku, majalah atau apa-apa terbitan, risalah atau apa-apa dokumen menggunakan sebarang bentuk lambang, rajah atau tanda-tanda yang boleh mengaitkan ajaran dan fahaman mereka yang berpegang dengan fahaman atau ajaran tersebut atau apa-apa fahaman atau ajaran yang mempunyai persamaan dengannya. Semua pihak adalah dilarang dan ditegah daripada memberi apa jua kemudahan, sumbangan dan bantuan kepada mereka yang berpegang dengan fahaman dan ajaran tersebut atau apa-apa fahaman atau ajaran yang mempunyai persamaan dengannya daripada mengamalkan, menyebarkan dan mengembangkan fahaman dan ajaran kumpulan tersebut di negeri Johor Darul Ta’zim.


11. Mana-mana orang Islam secara individu atau berkumpulan yang melakukan perkara-perkara di atas adalah melakukan suatu kesalahan dan boleh diambil tindakan dibawah undang-undang yang berkuatkuasa di negeri Johor Darul Ta’zim.


12. Mana-mana orang Islam secara individu atau berkumpulan yang telah berbai’ah (taat setia) dan mengamalkan fahaman atau ajaran Millah Ibrahim atau mereka yang berpegang dengan fahaman atau ajaran tersebut atau apa-apa fahaman atau ajaran yang mempunyai persamaaan dengannya di mana-mana jua berada hendaklah segera bertaubat serta memohon keampunan kepada Allah. 




والله اعلم بالصواب

 

Klik disini untuk mencetak