Ancaman Aliran Bukan Ahli Sunnah Wal Jamaah Terhadap Perpaduan Umat Islam Malaysia
Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor yang bersidang pada 3 Rejab 1436 bersamaan 22 April 2015 telah mengambil maklum perkara-perkara berikut:
i Umat Islam di Malaysia secara umumnya berpegang kepada mazhab Ahli Sunnah Wal Jamaah, aqidah berasaskan mazhab Asya’riah dan al-Maturidiah dan feqah berdasarkan mazhab Syafie.
ii Ajaran agama berasaskan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah merupakan ajaran yang sederhana atau wasatiah. Ajaran yang diamalkan oleh umat Islam di Malaysia sejak sekian lama ini ternyata menjamin keamanan, kesejahteraan dan keharmonian dalam menjalani kehidupan bermasyarakat.
iii Kehadiran mana-mana aliran pemikiran baharu seperti pemikiran Islam Liberal, fahaman salafiah wahabiah yang melampau, fahaman syiah dan fahaman sufi yang menyeleweng dan terkeluar dari mazhab arus perdana boleh menyumbang kepada kekeliruan pemikiran masyarakat awam dan akan mengancam perpaduan yang sedia ada di Malaysia.
iv Gerakan syiah di Malaysia sudah meluas dan tersusun. Bilangan pengikut syiah sedang berkembang dan mereka sudah berani menzahirkan kewujudan mereka. Ini dapat dilihat antaranya dari keberanian mereka menubuhkan Majlis Syiah Malaysia, menghantar memorandum terbuka kepada Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong serta membuat perakuan bersumpah di mahkamah. Ternyata mereka sudah tidak lagi menggunakan prinsip taqiyyah dalam menghadapi golongan Ahli Sunnah Wal Jamaah di Malaysia
v Aliran Salafi-Wahabi adalah tidak selari dengan jumhur Ahli Sunnah Wal Jamaah. Oleh itu, ramai sekali tokoh-tokoh besar Ahli Sunnah Wal Jamaah sejak dari kemunculan wahabi sampai sekarang memberikan pendapat negatif dalam pegangan Salafi-Wahabi.
vi Dalam konteks aqidah yang berkaitan dengan pegangan kepada tauhid tiga iaitu Rububiyyah, Uluhiyyah dan Al Asma Wa As Sifat, ajaran Salafi-Wahabi sudah terdedah secara meluas dalam masyarakat Islam di Malaysia melalui penerimaannya dalam silibus pendidikan Islam di peringkat sekolah menengah dan universiti. Hal ini adalah suatu perkara yang amat tidak wajar dan cukup membimbangkan kerana konsep tauhid tiga jelas bertentangan dengan konsep tauhid Ahli Sunnah Wal Jamaah yang berteraskan kepada ajaran Asya’riah dan al-Maturidiah.
Setelah dilihat dan dibahaskan dengan penuh penelitian , maka Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor membuat keputusan seperti berikut:
i Pihak penguatkuasaan perlu konsisten dalam mengambil tindakan undang-undang ke atas para pengikut fahaman syiah dan salafi-wahabi yang didapati menyebarkan fahamannya kepada masyarakat awam.
ii Enakmen undang-undang negeri yang melibatkan kedudukan Ahli Sunnah Wal Jamaah sebagai mazhab rasmi negeri perlulah disemak semula dan dibuat penambahbaikan sekiranya perlu.
iii Silibus sekolah agama hendaklah disemak semula khususnya yang berkaitan dengan aqidah.