Hukum Membayar Zakat Kepada Bukan Amil Dan Hukum Memindahkan Zakat
Setelah dilihat dan dibahaskan dengan penuh penelitian, maka Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor yang bersidang pada 27 Ramadhan 1436 bersamaan 14 Julai 2015 telah membuat keputusan seperti berikut:
Zakat merupakan pemangkin kepada ekonomi umat Islam selain untuk diberikan kepada asnaf yang berhak. Demi menjaga kepentingan maslahah zakat, harus menurut hukum syara’, pemerintah atau Ulil Amri mewujudkan peraturan dan undang-undang yang mewajibkan orang Islam membayar zakat kepada Majlis Agama Islam Negeri Johor.
Justeru, membayar zakat melalui pihak berkuasa agama melalui ‘amil yang dilantik oleh Majlis Agama Islam Negeri Johor adalah satu kewajiban yang perlu dipatuhi oleh umat Islam di Negeri Johor.
Walaubagaimanapun, mengagihkan zakat secara persendirian tanpa melalui pemerintah atau Uli Amri adalah sah sekiranya diagihkan kepada asnaf yang layak.
Manakala hukum memindahkan zakat, Majlis Agama Islam Negeri Johor sebagai penguasa agama yang mempunyai kuasa mutlak dalam pengagihan zakat dibolehkan untuk memindahkan zakat sekiranya ada orang lain daripada kalangan asnaf zakat yang sangat memerlukan sama ada kerana mereka ditimpa bencana alam seperti gempa bumi, banjir, kemarau dan lain-lain bencana alam yang memerlukan bantuan.
والله اعلم بالصواب