Perokok Menjadi Saksi Nikah
Setelah berbincang dari setiap sudut dan aspek, maka Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor yang bersidang pada 24 Ramadhan 1437 bersamaan 29 Jun 2016 telah membuat keputusan seperti berikut:
Isu hukum menghisap rokok adalah perkara ijtihadiah yang telah dibahaskan oleh para ulama’. Oleh kerana ianya tidak ada nas yang jelas, maka berlakulah perselisihan dalam penentuan hukum. Walaubagaimanapun, Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor telah memutuskan bahawa menghisap rokok adalah haram. Justeru, mereka yang menghisap rokok adalah fasik kerana berkekalan dalam melakukan dosa kecil (menghisap rokok).
Di antara syarat sah dua orang saksi akad nikah adalah mereka hendaklah bersifat adil. Ini adalah berdasarkan kepada hadis Nabi ﷺ daripada ‘Aisyah r.a. bahawa Nabi ﷺ bersabda:
لا نكاح إلا بولي وشاهدي عدل
( رواه الطبراني فى الأوسط الدارقطني)
Oleh itu, tidak sah sekiranya mereka itu fasik. Yang dimaksudkan dengan adil adalah seseorang yang tidak melakukan dosa-dosa besar dan tidak berkekalan dalam melakukan dosa-dosa kecil. Di antara perbuatan yang boleh menjadikan seseorang itu fasik ialah menghisap rokok yang telah difatwakan haram yang mana perbuatan tersebut memberi kesan dalam kesahan sebagai saksi akad nikah.
Walaubagaimanapun, oleh kerana keumuman sifat kefasikan (fasad al-zaman) melalui perbuatan merokok telah tersebar luas, malah mereka juga beralasan berpegang dengan hukum ulama’ yang tidak mengharamkannya, maka hukum orang yang menghisap rokok menjadi saksi akad nikah yang paling sesuai untuk dipegang adalah sah berdasarkan kepada keperluan haajiyat. Walaupun begitu, saksi yang fasik itu hendaklah beristighfar dan bertaubat kepada Allah Ta’ala sebelum majlis akad pernikahan bermula.
Akan tetapi, berpandukan kepada kaedah fiqhiyah:
الضرورات تقدر بقدرها
Maka wali pengantin perempuan atau mereka yang menguruskan majlis akad nikah hendaklah terlebih dahulu mendapatkan saksi yang tidak merokok kerana mereka mereka lebih layak menjadi saksi dari sudut pandangan agama, lebih-lebih lagi untuk menjadi saksi terhadap satu majlis yang mulia iaitu akad pernikahan yang sememangnya perlu sedaya upaya untuk mengelakkan daripada berlakunya sebarang perbuatan yang boleh menghilangkan keberkatan dan rahmat Allah Ta’ala.
والله اعلم بالصواب