JAKIM OFFICIAL WEBSITE
Responsive image
Tajuk
:

Solat Jumaat Pada Hari Raya Aidilfitri Dan Aidiladha Yang Jatuh Pada Hari Jumaat

Kategori: Ibadah
Tahun: 2015
Status Pewartaan: Tidak Diwartakan
Negeri: Johor
Keputusan
:

Setelah dilihat dan dibahaskan dengan penuh penelitian, maka Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor yang bersidang pada 27 Ramadhan 1436 bersamaan 14 Julai 2015 telah membuat keputusan seperti berikut:


Pada hari itu (Aidilfitri dan Aidiladha jatuh pada hari Jumaat) kewajiban menunaikan solat fardhu Jumaat diwajibkan keatas lelaki Muslim yang bermastautin dan ahli qariah setempat.

Adapun orang yang bukan ahli qariah setempat yang ingin pulang menziarahi ahli keluarganya, diizinkan untuk dia pulang untuk tujuan ziarah dan kembali semula mereka itu untuk mendirikan solat fardhu Jumaat, jika dia berkuasa berbuat demikian. Adapun jika tiada kuasa berbuat demikian (hadir semula ke masjid untuk menunaikan solat fardhu Jumaat), maka tiada berdosa. Tetapi adalah lebih baik bagi mereka yang terlibat agar menunggu selepas solat Aidilfitri sehingga selesai solat fardhu Jumaat.

Adapun bagi mereka yang dibolehkan meninggalkan solat fardhu Jumaat adalah beberapa golongan:

i. Kaum wanita

ii. Lelaki yang bermusafir

iii. Hamba

iv. Lelaki yang sakit(uzur syarie’)


Solat fardhu Jumaat adalah merupakan satu syiar daripada syiar-syiar agama Islam yang perlu dijaga dan dilaksanakan. Berjemaah didalam menunaikan solat fardhu Jumaat adalah wajib fardhu ‘ain (yang dikehendaki dilaksanakan oleh setiap muslim yang cukup syarat-syaratnya berbuat demikian).


Islam sentiasa memberi perhatian terhadap perpaduan dan kesatuan dikalangan umat Islam dan melarang sama sekali wujudnya punca-punca yang mengakibatkan perselisihan faham dan perbezaan pendapat yang akhirnya membawa kesan negatif kepada penduduk setempat.


والله اعلم بالصواب

Klik disini untuk mencetak