Menghalang Pembid’ahan Dan Penghinaan Kepada Amalan-Amalan Ahli Sunnah Wal Jamaah
Muzakarah Majlis Fatwa Negeri Sabah Bil. 2 Tahun 2017 telah bersidang pada 23-24 Mei 2017 / 26-27 Syaaban 1438H, bertempat di Bilik Seri Beringgis, TH Hotel & Residence, Kota Kinabalu, Sabah bagi membincangkan mengenai perkara “Fatwa Bagi Menghalang Pembid’ahan Dan Penghinaan Kepada Amalan-Amalan Ahli Sunnah Wal Jamaah” dan telah bersetuju memutuskan untuk diwartakan di Negeri Sabah bahawa:
1. Amalan-amalan Ahli Sunnah wal Jamaah yang diwarisi dari satu generasi ke satu generasi termasuk dalam perkara khilafiyyah di sisi ulama dan fuqaha adalah tidak bercanggah dengan syariat Islam.
2. Amalan-amalan ini juga boleh menyuburkan rasa cinta kepada Allah, Rasulullah SAW, al-Quran, al-Sunnah dan kebaikan serta perpaduan di dalam masyarakat.
3. Antara amalan-amalan tersebut adalah seperti berikut :-
i. Membaca Talqin
ii. Membaca al-Quran di atas kubur
iii. Majlis tahlil
iv. Kenduri arwah
v. Amalan menghadiahkan pahala kepada si mati melalui bacaan al-Quran, jamuan makan dan sebagainya.
vi. Qunut Subuh
vii. Bacaan doa dan diaminkan oleh para jemaah secara beramai-ramai sama ada selepas solat atau di lain-lain waktu dan upacara
viii. Tawassul
vix. Berzikir secara beramai-ramai
x. Membaca surah Yāsīn malam Jumaat atau pada mana-mana majlis dan upacara sambutan hari- hari kebesaran Islam seperti Sambutan Maal Hijrah, Doa Awal dan Akhir Tahun, Sambutan Maulidur Rasul dan Sambutan Isra’ Mikraj.
xi. Sembahyang tarawih 20 rakaat
xii. Sembahyang hajat secara berjamaah
xiii. Menyapu muka selepas memberi salam
xix. Dua kali azan pada hari Jumaat
xx. Melafazkan niat dalam ibadah.
2. Oleh itu, mana-mana orang Islam atau kumpulan adalah dilarang :-
i. Membid’ah;
ii. Menghina;
iii. Memperlekeh sama ada dengan perkataan, perbuatan, penulisan atau apa apa tindakan yang membawa maksud yang seumpama dengannya; atau
iv. Mengajar, menyiar, menyebar, menghebah dan mendedahkan dengan apa- apa cara sekalipun.
Mana-mana orang Islam sama ada secara individu atau berkumpulan yang terlibat dengan perkara di atas adalah melakukan suatu kesalahan dan boleh diambil tindakan di bawah Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Sabah 1995 atau undang-undang lain yang berkuatkuasa di negeri Sabah.