JAKIM OFFICIAL WEBSITE
Responsive image
Tajuk
:

Penggunaan Suasa Dan Emas Putih (Platinum) Sebagai Perhiasan Untuk Lelaki


Kategori: Sosial/Syariah
Tahun: 2018
Status Pewartaan: Tidak Diwartakan
Negeri: Kedah
Keputusan
:

1)      Merujuk keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Kedah yang berlangsung pada  19 Julai 1986;


Menurut kenyataan dan perakuan daripada tukang-tukang emas yang beragama Islam yang ada thiqah (kepercayaan) dan mempunyai pengalaman dan pengetahuan terhadap jenis-jenis logam yang diperbuat hiasan adalah suasa itu sejenis logam yang diadun dari berbagai-bagai logam  menurut kadar dan peratus yang tertentu iaitu 70% tembaga, 20% emas dan 10% perak.

Logam-logam ini setelah diadun dan dicampur dengan cara yang tertentu akan beralih menjadi sejenis logam yang dikenal sekarang ini sebagai suasa dan suasa ini menurut tukang-tukang emas tersebut apabila dilebur pada kali pertama maka unsur emas didalamnya tiada dapat dikesan lagi dan apabila dilebur pada kali kedua akan berubah menjadi tembaga.

Menurut pendapat fuqaha’ adalah halal bagi lelaki memakai cincin daripada logam yang “ مموه “ yakni yang bersadur atau bercampur dengan emas yang sekiranya dileburkan emas itu tiada dapat dikesan lagi dan jika dapat dikesan halal bagi orang-orang perempuan sahaja iaitu tertentu pada barang-barang hiasan mereka tida pada barang-barang lain. Walau bagaimanapun perbuatan “ تمويه “ menyadur atau mencampur itu adalah haram sekalipun bagi perhiasan-perhiasan perempuan.


Rujuk nas Tuhfatul Muhtaj bi Syarhil Minhaj, Juzu’ 1 halaman 122;

(قوله ويحل الاناء المموه) مثله السقف وكذا الخاتم فيما يظهر فيحل استعمال مموه من ذلك بذهب لا يحصل منه شيئ بالعرض على النار سم عبارة البجيرمى وحاصل مسألة التمويه ان فعله حرام مطلقا حتى فى حل النساء وأما استعمال المموه فان كان لا يتحلل منه شيئ بالعرض على النار حل مطلقا وان كان يتحلل حل النساء فى حليهن خاصة وحرم فى غير ذلك كما أفاده الرشيدى على النهاية.


Yang demikian Jawatankuasa Fatwa berpendapat harus bagi seseorang lelaki memakai cincin suasa di dalam sebarang waktu dan keadaan di dalam waktu biasa, waktu beribadah atau waktu melakukan aqad nikah atau menerima nikah atau menjadi saksi dan tiada menjejaskan kesahihan aqad itu.”



2)      Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-52 yang bersidang pada 1 Julai 2002 turut membuat keputusan mengenai Hukum Lelaki Memakai Emas Putih. Muzakarah telah memutuskan bahawa haram memakai emas putih ke atas golongan lelaki.


3)      Adapun menurut pandangan sebahagian saintis masa kini, inovasi perubahan teknologi dalam bidang peleburan logam mampu untuk memisahkan juzu’-juzu’ dalam jisim suasa untuk kembali kepada asal seperti sebelum dileburkan iaitu emas, perak dan tembaga.


4)      Walau bagaimanapun, Jawatankuasa Fatwa Negeri Kedah bersetuju merujuk pandangan tukang-tukang emas bahawa kemungkinan untuk memisahkan juzu’-juzu’ logam suasa untuk kembali seperti asal adalah sangat rendah dan sekiranya dipisah, akan berlaku susutnilai dalam logam emas, perak dan tembaga yang terhasil daripada peleburan kedua.


5)      Emas Putih terbentuk hasil daripada campuran beberapa unsur logam iaitu emas kuning, tembaga, nikel dan zink. Emas kuning yang digunakan untuk membentuk emas putih adalah daripada emas kuning 18 karat (750) atau emas kuning 14 karat (585). Kadar campuran unsur logam bagi membentuk 1 gram emas putih dalam peratusan adalah seperti berikut;


UNSUR LOGAM

PERATUS

Emas Kuning

(18K) 56.94%

14(K) 55.55%

Tembaga

26.77 %

19.00%

Nikel

11.96%

13.78%

Zink

4.33 %

11.67%



6)      Persepsi masyarakat hari ini, terdapat dua kategori emas putih iaitu emas putih yang mengandungi emas kuning dan platinum (kedua-duanya dipanggil emas putih). Kadar campuran unsur logam bagi membentuk 1 gram platinum dalam bentuk peratusan adalah seperti berikut;


UNSUR LOGAM

PERATUS

Platinum

10%

Palladium

50%

Perak

40%




7)      Berdasarkan hujah yang dikemukakan di atas, maka Jawatankuasa Fatwa Negeri Kedah bersetuju mengekalkan keputusan pada 19 Julai 1986 tanpa sebarang pindaan.


8)      Jawatankuasa Fatwa Negeri Kedah turut bersetuju menerima pakai Keputusan Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-52 yang bersidang pada 1 Julai 2002 mengenai Hukum Lelaki Memakai Emas Putih.


9)      Mudah-mudahan pandangan hukum mengenai Penggunaan Suasa Dan Emas Putih (Platinum) Sebagai Perhiasan Untuk Lelaki mampu untuk merungkai kekeliruan yang timbul dalam kalangan masyarakat pada hari ini.

      







Klik disini untuk mencetak